Rabu, 16 Januari 2019

Menteri India jaga kaum, menteri Cina kaut wang…..

Oleh Athirah Huda Zalhe

Menteri Melayu sibuk dengan retorik 'rahmatan lil alamin' untuk rai kaum-kaum lain hingga bangsa sendiri terpinggir




BANGI – Tindakan Kementerian Kewangan memberikan peruntukan khas kepada sebuah kolej swasta yang ditubuhkan Dong Jiao Zong baru-baru ini, menyerlahkan perangai sebenar menterinya, Lim Guan Eng.

Ketua Pemuda Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Muhammad Farid Hussin berkata, sikap itu jelas bertentangan dengan perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ yang disebut Guan Eng tahun lalu.

Beliau berkata, belum cukup setahun Guan Eng menjadi menteri, pelbagai isu telah ditimbulkan sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan orang Melayu, khususnya membabitkan kenyataan rasmi kementerian dalam bahasa Cina; peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina sehinggalah dana khas untuk Kolej Universiti New Era.

“Dalam masa peruntukan untuk golongan yang memerlukan pula dipotong dalam Belanjawan 2019, terutamanya golongan petani dan nelayan. Sedangkan peruntukan diberikan kepada kolej swasta berkenaan yang langsung tidak layak menerima sumbangan tersebut.

“Nampak inilah Malaysia Baharu versi Pakatan Harapan. Menteri berbangsa India sibuk mempertahankan kepentingan kaum mereka seperti dalam isu rusuhan kuil, sementara menteri Cina sibuk memastikan peruntukan diberikan kepada kaum mereka terutama dalam pendidikan.

“Menteri Melayu pula sibuk dengan retorik ‘rahmatan lil alamin’ sebagai alasan untuk meraikan kaum-kaum lain, selain Melayu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Muhammad Farid meluahkan rasa kesal terhadap pemerintahan kerajaan PH yang disifatkan semakin meminggirkan keistimewaan dan hak orang Melayu sebagai tuan asal negara ini.

“Orang Melayu terpaksa meminta dan mempertahankan hak mereka di tanah air sendiri apabila kerajaan tidak berperanan dengan baik, malah sebaliknya dengan menggalakkan lagi penghakisan hak kaum majoriti dan identiti negara,” katanya.

Minggu lalu, tular gambar menunjukkan Guan Eng sedang menyerahkan cek berjumlah RM193,000 kepada Kolej Universiti New Era dalam ‘Majlis Penyampian Peruntukan 2019 Kepada Kolej Universiti New Era dan Sekolah Menengah Persendirian Cina’.

Gambar tular itu sekali gus menimbulkan pertikaian daripada banyak pihak yang mempersoalkan tindakan kerajaan memberi peruntukan itu kepada kolej swasta berkenaan.

Ahad lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa peruntukan khas yang diberikan kepada Kolej Universiti New Era adalah daripada Kementerian Kewangan sendiri.

“Selaku institusi pendidikan yang bukan bermotifkan keuntungan, peruntukan yang diberikan adalah peruntukan khas Kementerian Kewangan yang diberi secara terus oleh Kementerian Kewangan kepada kolej itu dan tidak melalui Kementerian Pendidikan,” kata KPM.


Tiada ulasan: