Ahad, 27 Januari 2019

Putrajaya tubuh RCI siasat isu perdagang manusia di Wang Kelian


Pihak berkuasa menemui kubur mangsa pemerdagangan manusia 
di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis pada Oktober 2015. 
(Gambar Bernama)
 
PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis.

Beliau berkata, banyak pihak tidak berpuas hati dengan isu pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand itu dan merasakan ada pihak cuba menyembunyikan keadaan sebenar.

“Kita putuskan tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja, tunggu tandatangan daripada Agong dan selepas itu mereka akan bersidang.

“Kita telah namakan ahli-ahli yang akan duduk dalam suruhanjaya itu. Kita bagi 6 bulan (untuk melakukan siasatan), mulai tempoh ia diluluskan Yang di-Pertuan Agong. Lepas itu, laporan itu siap nanti kita akan bentangkan,” katanya dalam siaran langsung Facebook PPBM hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Kongres Melayu Perlis yang diadakan di Universiti Malaysia Perlis (Unimap). Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pada Mei 2015, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur kecil dan besar di Wang Kelian serta Padang Besar dipercayai milik pendatang asing. Ia kemudiannya membawa kepada operasi besar-besaran polis Thailand ke atas rangkaian pemerdagangan manusia.

Pada 17 Mac 2018, Majlis Peguam Malaysia menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat kewujudan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian, Perlis, 4 tahun lalu.

Presidennya dipetik Bernama sebagai berkata, siasatan itu perlu meliputi dakwaan pembabitan rasuah dan cubaan menutup kewujudan kem dan kubur terbabit oleh agensi penguatkuasaan undang-undang serta mengenal pasti dalangnya.

Sementara itu, seorang peserta kongres bertanya mengenai perniagaan di Padang Besar yang dikatakan menguncup 80% dan Wang Kelian hampir “mati”.

Muhyiddin berkata, keadaan di Wang Kelian yang merupakan zon aliran bebas ketika ini kekal sama.

“Ada rayuan daripada pihak Perlis (yang mahukan) kawasan itu dibuka semula kerana ada perdagangan, walaupun laporan kita terima di situ bahawa yang banyak untung belah sana (Thailand), bukan Perlis.”

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapannya di kongres itu berkata, Kabinet dalam mesyuarat minggu ini memutuskan akan memansuhkan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

“Kalau pun nak diganti, bukan bentuk yang sama, tapi yang selari dengan tuntutan semasa dari segi keadilan dan sebagainya. Ini tanggungjawab saya dan insya Allah kita akan laksanakan,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.

Tiada ulasan: