Khamis, 31 Januari 2019

Inkues Adib: Mahkamah tolak permohonan kuil, penganut Hindu

 
   
Mahkamah Koroner hari ini menolak permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman dan kira-kira 50 penganut Hindu untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menurut koroner, Rofiah Mohamad, ini memandangkan kedua-dua pihak tersebut tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substansif dan munasabah  dalam inkues tersebut.

Rofiah berkata klausa tersebut juga tersasar daripada terma Seksyen 377 Kanun Tatacara Jenayah.

"Pihak tersebut tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substantif dan munasabah.

"Selaku koroner, saya tidak boleh keluar daripada sempadan yang digariskan dalam 377," katanya di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Peguam Siti Zabedah Kassim hari ini mewakili sebahagian penganut Hindu di situ dan peguam M Visvanathan mewakili Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman.

"Pasukan petugas (jawatankuasa kuil) tiada kepentingan, (justeru) permohonan ditolak.

"Begitu juga sebagai penganut yang tidak diketahui identiti juga tidak menunjukkan kepentingan untuk mengikut sama dalam inkues," kata Rofiah.

Peguam kedua-dua pihak memutuskan untuk mengemukakan semakan kehakiman kepada mahkamah tinggi, esok.

Rofiah bagaimanapun membenarkan pihak Majlis Peguam untuk menjadi peguam pemerhati dalam prosiding inkues itu. Beliau turut membenarkan peguam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Mansor Saat menjadi peguam pemerhati dalam prosiding itu.

Rofiah dalam pada itu meminta pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding tersebut supaya mengelak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan di media.

"Elak keluarkan kenyataan seperti 'kita yakin Adib mati in this way...' macam anda mendahului inkues sedangkan kita belum start lagi (prosiding inkues). Tolong elak daripada keluarkan sebarang kenyataan," katanya.

Rofiah sebelum ini menetapkan 11 Feb hingga 28 Feb; 1, 4 dan 5 Mac; 19 Mac hingga 29 Mac dan 1 April hingga 12 April sebagai tarikh prosiding inkues itu.

Muhammad Adib, 24, yang adalah anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Allahyarham didakwa cedera selepas diserang sekumpulan individu yang merusuh di kawasan kuil berkenaan dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis tahun lalu, selepas 21 hari dirawat.

Seorang ahli patologi menjalankan bedah siasat ke atas jenazah Muhammad Adib tetapi Menteri Dalam Negeri Muhyiddn Yassin - pada 27 Dis tahun lalu - mengumumkan bahawa suatu inkues akan diadakan bagi mengenal pasti kematian anggota JBPM itu.


Tiada ulasan: