Ahad, 27 Januari 2019

Bubar Parlimen demi selamatkan ekonomi negara

Oleh Fahmi bin Faiz

Polisi dan dasar PH huru-hara, buat rakyat tertekan


 
BANGI – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad wajar mempertimbangkan pembubaran Parlimen, berikutan kegagalan dalam tadbir urus kerajaan.

Bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, pemerintahan Pakatan Harapan (PH) nampak huru-hara, lebih-lebih lagi apabila kerajaan gagal menjamin keselamatan awam.

“Ini boleh dilihat dalam isu Muhammad Adib Mohd Kasim, sehingga kini belum nampak jalan penyelesaian.

“Rakyat tertanya-tanya, ketelusan dan kesungguhan kerajaan untuk selesaikan isu berkenaan untuk tangkap pembunuh,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Muhammad Pehimi berkata, kerajaan juga gagal mentadbir ekonomi dengan baik, sehingga menimbulkan pelbagai isu membuatkan rakyat tertekan.

“Kita perlu jelas bahawa ekonomi negara sedang tenat sejak dikawal kerajaan PH. Polisi dan dasar mereka mendorong masalah ekonomi.

“Rakyat gelisah dalam kesusahan, harga barang naik mendadak, namun malangnya kerajaan tak kompeten, hatta untuk mengawal harga telur ayam sekali pun.

“Jika tak silap, Bank Dunia sasarkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia menurun dari 5.4 peratus kepada 4.9 peratus sejak PH perintah negara, dengan unjuran bahawa tahun 2019 adalah lebih lemah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Parlimen juga wajar dibubar kerana polisi kerajaan sehingga hari ini gagal membawa peningkatan ke atas nilai mata wang tempatan.

“Kerajaan tak kompeten, gagal kawal ekonomi sehingga nilai ringgit menguncup teruk. Kesannya ialah inflasi mata wang, yang nyata akan mendorong lebih banyak masalah lebih besar di masa akan datang,” katanya.


Tiada ulasan: