Khamis, 31 Januari 2019

MP: Amaran Allah mengatasi amaran Mujahid

 
   
Anggota Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim menolak amaran menteri agama Mujahid Yusof dalam isu lantikan anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof jangan ingat amaran dari beliau digeruni oleh umat Islam.

“Beliau dilaporkan memberi amaran jangan mempertikaikan pelantikan wakil DAP sebagai ahli lembaga pengarah Yadim.

“Ingat , 63 peratus rakyat Malaysia adalah umat Islam yang ada had kesabarannya dan tidak teragak-agak mempertahankan Islam jika terus diganggu.

“Ingat, amaran Allah SWT mengatasi amaran beliau (Mujahid),” kata wakil rakyat PAS itu menerusi kenyataannya, hari ini.
Mujahid selepas majlis serahan watikah anggota lembaga pemegang 
amanah Yadim.
Pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Paloh Sheikh Omar Sheikh Ali sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yadim dikritik banyak pihak, terutamanya pembangkang.

Bagaimanapun, Mujahid mempertahankan pelantikan itu dan menjelaskan bahawa ia dibuat atas kelayakan Sheikh Omar.

Sementara itu, Ahmad Amzad mendakwa DAP berusaha menghalang usaha memperkasakan institusi mahkamah syariah dengan pelbagai alasan.

“PAS beri amaran jangan berterusan memberi laluan campur tangan DAP dalam urusan Islam.

“DAP berterusan cuba menghalang usaha memperkasakan institusi mahkamah syariah dengan pelbagai alasan,” katanya.


Tiada ulasan: