Isnin, 28 Januari 2019

Dakwaan kadar makanan sehari SBP dikurangkan tidak benar - Maszlee

Astro Awani
Dakwaan kadar makanan sehari SBP dikurangkan tidak benar - Maszlee
Maszlee (kiri) menafikan dakwaan Najib bahawa kerajaan mengurangkan kadar makanan sehari di SBP. -Gambar fail
 

KLUANG: Dakwaan bahawa kerajaan mengurangkan kadar makanan sehari di sekolah berasrama penuh (SBP) adalah tidak benar.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang menafikan sekeras-kerasnya kenyataan itu memberitahu isu berkenaan tidak pernah terjadi di mana-mana SBP dan ia tidak seharusnya timbul.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan di akaun Twitternya semalam mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menurunkan kadar makanan sehari SBP daripada RM18 kepada RM14.50.

 "Saya harap Datuk Seri Najib melakukan homework sebelum membuat kenyataan," kata Maszlee.

Dalam majlis sama, Maszlee mengharapkan agar program Ziarah Cakna berupaya mengembalikan imej guru sebagai adiwira bukan sahaja kepada anak murid malah ibu bapa serta masyarakat setempat.

Jelas beliau, dengan adanya program ini, profesion perguruan akan terus dihormati semua golongan.

"Ia bukan perkara yang baharu. Kalau kita lihat di negara maju, contohnya, Jepun dan juga beberapa negara lain, guru atau pihak pendidikan mereka pergi rumah ke rumah.

"Bukan untuk spotcheck, bukan lapor anak nakal, tetapi untuk merapatkan hubungan dan menambah kasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang cintakan sekolah dan  masyarakat," kata Maszlee.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan 2019 di sini.

Program Ziarah Cakna ini antara lain bertujuan memperluaskan konsep sekolah penyayang selain memperkukuhkan hubungan antara sekolah dan masyarakat.

Program yang melibatkan 143 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negara dijangka dilaksanakan sepanjang tahun.

Tiada ulasan: