KOTA BHARU: Kerajaan negeri bersedia menghentikan semua aktiviti pembalakan di negeri ini sekiranya Kerajaan Pusat dapat menyelesaikan pembayaran royalti minyak yang dijanjikan sebelum ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata pembayaran royalti dianggarkan RM700 juta setahun itu dapat digunakan untuk menampung pembangunan termasuk membantu Orang Asli.
“Pandangan saya, kalau betul kerajaan (pusat) ambil berat mengenai Orang Asli, dia sepatutnya segerakan royalti. Antara punca kita tebang balak kerana hasil negeri terhad.
“Kalau dapat royalti seperti mana yang sepatutnya, kita mungkin boleh berhenti terus tebang balak, tidak payah buat dah, sebab royalti RM500 juta hingga RM700 juta setahun dapat selesaikan masalah, jadi Orang Asli tidak terganggu.
“Hasil balak kita peroleh lebih kurang RM100 juta hingga RM120 juta setahun, maknanya dengan royalti itu kita boleh cover (tampung).
“Sekarang pun pembalakan tidak ganggu penempatan Orang Asli sebab kita sudah tetapkan kawasan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sambutan Hari Murabbi Ummah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, pihaknya sudah bersetuju 11,331 hektar tanah di seluruh Kelantan yang dikhaskan untuk Orang Asli.
“Biarpun kita tidak mengiktiraf tanah adat, kita sudah mewartakan hutan seluas 4,856 hektar untuk penempatan dan penanaman di dalam hutan simpan khas untuk Orang Asli yang tidak dibenarkan sebarang aktiviti pembalakan.
“Malah kita turut menetapkan seluruh kawasan hutan di negeri ini menjadi kawasan rayau untuk Orang Asli,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kes saman daripada Kerajaan Pusat, Mohd Amar berkata pihaknya sudah bersedia untuk berdepan prosiding itu
“Esok penasihat undang-undang negeri akan membentang laporan mengenai kes ini kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan kemudian kita boleh rangka tindakan dan usaha akan buat.
“Bagaimanapun kita yakin mempunyai kes yang kukuh atas beberapa faktor yang akan dibawa di mahkamah nanti ,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan