Ahad, 27 Januari 2019

Kenyataan Tun M ‘tak nampak calon gelap’ makan diri

Kumara Sabapatty

xMGF13012019_CALON-BN-BILIK-GERAKAN-MIC05-681x454
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Bilik Gerakan MIC, Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2019


CAMERON HIGHLANDS – MIC menempelak sikap rasis yang ditunjukkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau mengatakan ‘tidak nampak calon’ kerana gelap sehingga mengecewakan pengundi India di Cameron Highlands.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, Tun Mahathir menyebabkan beliau terkilan dan kenyataan itu memberi tamparan kepada Pakatan Harapan terutama DAP sendiri sehingga menghasilkan keputusan hari ini.

“Beliau sebagai PM seharusnya mengetahui siapa calon, tapi beliau nyanyuk sehingga tak tahu nama calon dan mengatakan calon gelap sehingga tidak boleh dilihat.

“Lebih teruk pemimpin tertinggi DAP iaitu Lim Kit Siang Lim Guan Eng termasuk Kulasegaran tidak menasihati atau menegur Tun M dalam perkara itu tetapi turut gelak ketawa dengan kenyataan dalam ucapan di Sungai Koyan semalam.

“Inilah impak masyarakat India terhadap Manogaran dalam PRK hari ini, ini bukan kali pertama Tun M berbuat demikian,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan PRK Cameron Highlands yang menyaksikan kemenangan Barisan Nasional.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, perkembangan itu menjadi antara sebab pengundi di Cameron Highlands menolak PH dalam PRK kali ini, dan mereka tidak lagi mahu mendengar janji palsu kerajaan baharu itu.

Beliau dalam perkembangan sama menasihatkan pemimpin PH supaya bersantun dalam mengeluarkan perkataan dan tidak sewenang-wenangnya mempersenda secara rasis.

“Perbuatan seperti ini perlu dielak dan tidak dijadikan budaya oleh pemimpin PH selepas ini,” tegasnya lagi. – Malaysiagazette


Tiada ulasan: