Oleh Fahmi bin Faiz
Pemantau desak kerajaan batalkan pelantikan Sheikh Omar
BANGI
– Pelantikan proksi DAP daripada kalangan orang Islam ke dalam Yayasan
Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), dilihat sebagai agenda licik bagi
melemahkan suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu
berhaluan kanan.
Presiden Pemantau Malaysia Baru
(Pemantau), Datuk Lokman Noor Adam berkata, kemasukan Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) DAP, Sheikh Omar Ali sebagai anggota pemegang
amanah Yadim disifatkan sebagai langkah halus DAP untuk mengubah lanskap
politik dan agama tanah air, supaya menjadi lebih terbuka kepada agenda
pluralisme, liberalisme dan sekularisme.
“DAP ni licik, mereka rekrut proksi
daripada kalangan orang Islam untuk kawal institusi agama kita,
sedangkan mereka secara terbuka menuntut dan mendesak agar Malaysia
amalkan pluralisme atau kemajmukan agama. Ini boleh dilihat melalui
kenyataan ahli mereka, contohnya Zairil Khir Johari yang tulis dalam
RoketKini, gesaan agar Malaysia kembalikan pluralisme agama sebagai cara
hidup rakyat.
“Dalam isu pelantikan proksi mereka ke
dalam Yadim ini, kita kena tegaskan, fungsi Yadim nak selaraskan
kegiatan badan-badan dakwah serta NGO agar berjalan seiring dan sejajar
dengan dasar negara.
“Apa maknanya? Maknanya, Yadim ini
berpengaruh ke atas hala tuju NGO-NGO di Malaysia. Apa akan jadi bila
Yadim kena ‘hijacked’ oleh DAP? Sudah pasti, suara-suara NGO Islam
berhaluan kanan akan dibenam oleh parti yang julang idea pluralisme
agama, liberalisme dan sekularisme,” katanya kepada Ismaweb.net, hari
ini.
Lokman berkata, NGO adalah ‘kuasa ketiga’
yang berpengaruh mewujudkan semak dan imbang kepada kerajaan, dan
berperanan menegur salah laku, termasuk yang membabitkan polisi
anti-Islam dan Melayu.
Katanya, apabila parti DAP yang memang
terkenal sebagai pendukung pluralisme agama berjaya mengawal Yadim, ini
sekali gus mengakibatkan suara Islam dan Melayu yang sedia tempang sejak
Pakatan Harapan (PH) memerintah, akan menjadi semakin terpinggir dan
disekat.
“NGO ini berperanan besar dalam
mencorakkan senario politik tanah air. Buktinya, atas kesepakatan
NGO-NGO Islam lah, kita berjaya menganjurkan perhimpunan aman menolak
ICERD pada Disember lalu.
“Kerana kelantangan suara NGO-NGO Islam
juga lah, kita berjaya memberi tekanan kepada kerajaan supaya tak
bertindak biadab terhadap agama dan bangsa kita. Boleh kah kita
bayangkan, apabila institusi yang memayungi NGO ini, dikawal oleh DAP?”
katanya
Justeru, beliau mendesak agar kerajaan
membatalkan pelantikan Sheikh Omar ke dalam Yadim, demi memastikan
kelancaran proses demokrasi Malaysia sebagai negara Islam ini tidak
dicabul.
“Kerajaan kena bertindak tegas, batalkan
pelantikan dia (Sheikh Omar). Jangan sampai kita himpunkan jutaan rakyat
untuk menolak pelantikan itu. Malaysia ini negara Islam, lantiklah
orang yang memang jelas pro-Islam, bukan individu dari parti yang
anti-Islam,” katanya.
Terdahulu, Mujahid yang juga Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengesahkan pelantikan Adun
Paloh, Sheikh Omar Ali sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yadim.
Beliau dilaporkan berkata, pelantikan
Sheikh Omar itu adalah berdasarkan kelayakannya sebagai seorang yang
mempunyai latar belakang agama.
Difahamkan, Sheikh Omar dilantik ke
jawatan itu untuk tempoh dua tahun dan watikah pelantikannya akan
disampaikan oleh Mujahid di Putrajaya esok.
Pelantikan Sheikh Omar itu dipercayai yang pertama melibatkan pemimpin DAP ke dalam institusi agama berkaitan kerajaan pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan