Ahad, 27 Januari 2019

Senario dinamik dorong 68.79 peratus keluar mengundi – SPR

Kumara Sabapatty

xMGF26012019_HARI-UNDI-PRK-CH16-681x455
Penduduk orang asli beratur bagi membuang undi pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Kebangsaan Mensun, Cameron Highlands, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 
 

CAMERON HIGHLANDS – Walaupun tersasar dari 70 peratus peratusan keluar mengundi, pencapaian 68.79 peratus yang direkodkan dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands hari ini adalah terbaik, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, 68.79 peratus adalah antara tertinggi yang pernah dicatatkan berbanding mana mana PRK sebelum ini.

“Memang kami menjangkakan 70 peratus tetapi tersasar 1.2 peratus. saya rasa ramai yang di luar tidak balik mengundi, saya rasa itu sebabnya tersasar.

“Tetapi peratusan yang keluar mengundi 68.79 peratus iaitu hampir 70 peratus merupakan peratusan keluar mengundi yang tertinggi diantara PRK yang dijalankan sebelum ini.

“Saya berpuas hati dengan peratusan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRK Cameron Highlands yang mana kemenangan memihak kepada BN.

Keputusan diumumkann sekitar 8.40 malam tadi di Dewan Gemilang SMK Sultan Ahmad Shah Tanah Rata di sini.

Ditanya langah memperbaiki peratusan di masa akan datang, kata beliau, SPR akan sentiasa melakukan aktiviti aktiviti berkaitan dan mengiklan di media masa.

Pun begitu katanya, usaha memujuk pengundi bukan sekadar bersandar pada SPR semata-mata malah ia juga  tanggungjawab parti parti politik yang merupakan pihak berkepentingan dalam setiap pilihan raya.

Ditanya mengenai faktor menyumbang peratusan tertinggi berlainan berbanding PRK lampau, katanya calon bertanding datang dari parti berbeza iaitu Pakatan Harapan mewakili Kerajaan Pusat dan calon mewakili kerajaan negeri menunjukkan senario agak dinamik ditambah dengan isu semasa hangat menyumbang peratusan itu.

beliau juga menyatakan rasa puas hati dengan kesedaran parti politik dan calon serta rakyat mengenai undang undang pilihan Raya pentingnya perlu dijalankan sevcara telus dan adil.

Beliau turut diminta mengulas mengenai gesaan Bersih 2.0 untuk membuat laporan polis ke atas calon PH yang melanggar peraturan dengan memakai pakaian logo parti.

Menjawab soalan itu, Azhar Azizan berkata pihaknya akan mempertimbangkan gesaan Bersih itu.
“Setelah mendapat semua fakta mungkin kita akan mendapatkan pandangan pakar undang-undang dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Mengenai penambahbaikan pada PRK akan datang, keberkesanan ‘Live Facebook SPR’ akan diteruskan di PRK Semenyih selain pengumumuan keputusan segera seperti malam ini,” ujar beliau.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: