Selasa, 29 Januari 2019

‘Dakwaan baru bagi hukum Najib atas kemenangan Cameron Highlands’

 
   
Tiga lagi dakwaan baru ke atas Najib Razak semalam adalah sebagai menghukumnya susulan kemenangan BN di Cameron Highlands, dakwa seorang pembantu bekas perdana menteri itu.

Bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan, pembantu itu memberitahu Malaysiakini bahawa kenyataan Najib telah dirakamkan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira 30 minit sebelum dia didakwa dengan pertuduhan tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amla) 2001.

Pihak berkuasa, katanya, juga mengambil cap jari dan merakamkan gambar Najib seolah-olah ia adalah kes baru.
"Saya fikir ini untuk menghukum Najib berhubung apa yang berlaku di Cameron Highlands. Saya mengesyaki demikian kerana prestasi Najib agak cemerlang di Cameron Highlands.

"Pihak pendakwaan berkata ini adalah pertuduhan yang sama, tetapi jika sama, kenapa mereka mengambil gambar dan cap jarinya sekali lagi seperti ia adalah kes baru? Semua ini dilakukan di tingkat bawah mahkamah.

"Mereka soal-siasat dia, ambil gambar dan cap jari di pejabat pendaftar, yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, seolah-olah mereka mahu menjadikannya sebagai mangsa dan memalukannya," katanya.

Dihubungi kemudiannya, peguambela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah juga membidas pertuduhan tambahan itu dan menuduh pendakwaan sebagai "cuai".
Katanya, dakwaan pertuduhan tambahan dibuat kurang dua minggu sebelum perbicaraan Najib berhubung dakwaan berkaitan dengan skandal SRC International dijadualkan bermula.

Shafee berkata pendakwaan juga membuat pindaan kepada enam pertuduhan terdahulu, dan ini menyaksikan pasukan pembelaan mempunyai masa yang semakin berkurangan untuk mempersiapkan kes mereka.

"Bantahan saya bukan sebarangan. Peguam Negara menandatangani persetujuannya terhadap pertuduhan baru itu dan pada hari yang sama, mereka merakamkan kenyataan daripada Najib.

"Mereka memaksa Najib memberi kenyataan. Semua ini berlaku semalam.

"Ini adalah perkara yang menurut pihak pendakwaan bahawa mereka sudah bersedia beberapa bulan lalu dan adalah yang sama dengan yang apa yang dia didakwa sebelum ini.

"Sekiranya perkara sama, mengapa pihak pendakwaan tidak bersedia?" soalnya.
Semalam, Najib dikenakan tiga lagi pertuduhan tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amla) 2001.

Najib dituduh terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) (a) akta itu kerana didakwa menerima sejumlah RM47 juta dalam akaun AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 8 Julai 2014.

Tuduhan itu dibacakan kepada Najib di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: