Rabu, 16 Januari 2019

Kebanyakan kerajaan negeri setuju naikkan tarif air

tyrazalhe

Kadar kenaikan 20 peratus masih dalam perbincangan: Menteri

KUALA LUMPUR – Kenaikan tarif air dijangka dapat dilaksanakan pada tahun ini berikutan kebanyakan kerajaan negeri menyatakan persetujuan dengan cadangan itu, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar.

Bagaimanapun katanya, kadar kenaikan masih dalam perbincangan memandangkan setiap negeri mempunyai kadar tarif berbeza dan ada juga yang tidak pernah menyemak semula selama berpuluh tahun.

“Saya nampak banyak kerajaan negeri setuju. Ada satu atau dua negeri sahaja tidak bersetuju lagi tetapi kita akan berbincang dengan mereka.

“Bagaimanapun saya boleh memberi jaminan ia tidak akan membebankan rakyat, dan ia akan bagi manfaat untuk rakyat dengan adanya air yang bersih untuk diminum,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan Indah Water Konsortium (IWK), di sini hari ini.

Ditanya sama ada kadar kenaikan akan ditetapkan pada 20 peratus seperti yang dipertimbang oleh Pulau Pinang, beliau berkata: “Tengoklah bagaimana… masih ada masa untuk kita bincangkan mengenai kadar tarif… kalau 20 peratus itu dirasakan sangat tinggi kita boleh turunkan sedikit.”

Katanya, kerajaan berharap perundingan di antara Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN) dan kerajaan-kerajaan negeri berhubung perkara itu dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.- Bernama


Tiada ulasan: