Rabu, 30 Januari 2019

K’jaan pertimbang perkenal akta baharu halang pembiayaan dana politik secara rasuah

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk mememperkenalkan akta baharu demi menyekat aktiviti rasuah menerusi pembiayaan dana politik, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata parti-parti politik memerlukan dana untuk beroperasi kerana kos untuk terlibat dalam politik kian meningkat saban masa.

“Ini masalah besar kerana parti-parti politik memerlukan dana kerana tanpa dana yang cukup ia tidak boleh berfungsi, ” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Antirasuah Naional (NACP) 2019-2023 di sini hari ini.

Pelaksanaan pelan NACP dibuat berdasarkan 22 strategi yang akan diberi keutamaan bagi enam sektor utama. Pelan berkenaan mengandungi 115 inisiatif antirasuah merangkumi sektor politik: perolehan awam; penguatkuasaan undang-undang; pentadbiran sektor awam; perundangan dan kehakiman; serta tadbir urus korporat.

“Pada masa ini kita mesti mendapatkan sumber dana dan ia mestilah sumber yang sah dan diiktiraf oleh kerajaan.

“Jadi, kerajaan sekarang sedang meneliiti bagaimana pembiayaan dana politik itu tidak menjadi satu amalan rasuah kepada parti atau kerajaan. Ia satu proses yang rumit, tetapi kita akan mencari jalan penyelesaiannya,” kata Dr Mahathir.

Ditanya sejauh mana keyakinan kerajaan terhadap pelaksanaan NACP, Dr Mahathir berkata: “Pada masa ini, kita melihat laporan itu menyatakan bahawa rasuah tidak lagi berlaku sekerap dan sebanyak masa lepas. Kebanyakan yang dilaporkan adalah apa yang telah berlaku pada masa lepas, dan bukan yang berlaku sekarang. Apa yang jelas, orang tidak lagi mudah terjebak dengan rasuah berbanding dahulu.”

Menjawab pertanyaan lain mengenai kenapa Pakatan Harapan tidak memenangi pilhan raya kecil Parlimen Cameron Highlands Sabtu lepas walaupun telah memperlihatkan sikap antirasuah, Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata: “Terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa terdapat pihak-pihak tertentu yang telah menggunakan wang untuk membeli sokongan. Itu rasuah.”

Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata perbincangan bersama semua parti politik berkaitan perkara mengenai pengurusan dana politik kini memasuki fasa pusingan akhir.

Mengenai soalan berkaitan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC), beliau berkata suruhanjaya itu akan mempunyai kuasa mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota polis yang menyalahi undang-undang dan yang melakukan kesalahan.

“Kita juga telah berbincang dengan Peguam Negara dan pihaknya telah memberi kita masa untuk memberi maklum balas kepada perkara-perkara yang kita bangkitkan kepada beliau.

“Setelah mendapat jawapan mengenai perkara yang dibangkitkan, sekiranya positif, kita akan teruskan rancangan untuk dijadikan sebagai draf undang-undang untuk dibawa ke Parlimen melalui kabinet,” katanya.

Ditanya mengenai komen beliau berkenaan pelantikan jawatan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan dari kalangan ahli politik, beliau berkata perkara itu tidak salah asalkan individu berkenaan mempunyai merit dan berkelayakan.—Bernama

Tiada ulasan: