Isnin, 28 Januari 2019

‘Ikut logik Kit Siang, siapa patut bertanggungjawab atas kematian Adib’

MALAYSIAKINI

   

Bekas perdana menteri Najib Razak mahu pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang untuk menjawap persoalan siapa yang patut bertanggungjawab atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang mengalami kecederaan kritikal semasa menjalankan tugas dua bulan dahulu.

Merujuk kes kematian Teoh Beng Hock, Najib berkata Lim tetap mendakwa beliau bertanggungjawab kerana kejadian berlaku pada masa pentadbiran BN yang di bawah terajunya.

“Kini kerajaan yang sama adalah kerajaan parti anda dan tanggungjawab beralih kepada kamu. Pergilah siasat lagi jika mahu.

“Jika kita mengikut logik Kit Siang, siapa yang patut bertanggungjawab ke atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang mengalami kecederaan kritikal semasa menjalankan tugas dua bulan dahulu?” soalnya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Najib dalam hantarannya juga mempersoalkan mengapa Lim dari dahulu tidak memaklumkan kepada orang ramai bahawa beliau bukan pembunuh mendiang Teoh?

“Selepas saya menekan Kit Siang beberapa kali pada bulan Oktober lalu, beliau akhirnya mengeluarkan tweet yang berbunyi: Najib did not kill Teoh Beng Hock.

“Nampaknya, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) tidak dapat membersihkan nama saya bahawa saya bukan pembunuh Teoh Beng Hock tetapi pemimpin Agong DAP ini mampu berbuat demikian.
“Bukan main lama. Hanya 10 tahun sahaja, jentera dan propaganda DAP meletakkan nama dan gambar saya bersama dengan mendiang Teoh Beng Hock dan menuduh saya sebagai pembunuh Teoh,” katanya.

Pada 16 Julai 2009, Teoh ditemukan mati selepas jatuh dari tingkat sembilan bekas ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam, tempat bekas pembantu ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah itu ditahan untuk disoal siasat.

Muhammad Adib, 24, pula yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.
Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis tahun lalu dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

LIHAT FB DI SINI


Tiada ulasan: