Rabu, 30 Januari 2019

Kehidupan polis di kuarters ‘daif’


Keadaan jalan yang berlubang dan berlecak di salah sebuah 
kuarters polis di Selangor.
 
PETALING JAYA: Seperti penjawat awam dan badan beruniform lain, anggota polis tidak terkecuali daripada menerima kemudahan kuarters sebagai kediaman mereka sekeluarga.

Kuarters dengan paduan warna biru gelap dan putih itu biasanya memberi kemudahan kepada polis, namun sejauh mana kemudahan ini memberi keselesaan kepada anggota keselamatan yang menghuninya.

Baru-baru ini FMT membuat tinjauan ke beberapa kuarters polis di Kuala Lumpur dan Selangor. Hasilnya mendapati sesetengah kuarters dan persekitarannya dalam keadaan “daif”.

Tinjauan di salah sebuah kompleks perumahan itu di Selangor, mendapati jalan di dalam kuarters berkenaan sangat menyedihkan di mana terdapat 4 lubang besar pada sebatang lorong.

Terdapat beberapa kon berwarna jingga diletakkan di atas jalan sebagai tanda atau amaran kepada pengguna tentang kewujudan lubang tersebut.
Kon keselamatan diletakkan di tepi lubang sebagai tanda jalan 
itu tidak selamat digunakan.
Selain itu, terdapat 4 lubang besar pada lorong yang sama dengan kelebaran kira-kira setengah meter dengan kedalaman 1 hingga 2 inci.

Menurut anggota polis yang enggan dinamakan, dia sedih melihat fasiliti di kediamannya yang tidak memuaskan hati.

“Sudah penat kerja seharian, tetapi kawasan rumah pula seakan-akan tidak menyambut kepulangan kami.

“Bila-bila masa pun boleh ada yang cedera kalau keadaan ini berterusan,” katanya yang menghuni kuarters itu sejak 3 tahun lalu.

Sementara itu, anggota polis yang mahu dikenali sebagai Wan berkata “pemandangan” itu bukanlah perkara luar biasa bagi penghuni di situ.

“Keadaan itu sangat berisiko untuk mencederakan individu, terutamanya kanak-kanak. Malah, jalan berlubang yang dilalui hari-hari, boleh menyebabkan kenderaan penghuni kuarters rosak,” katanya.
Bagaimanapun, Wan lebih membimbangi keselamatan anak-anak anggota polis.

“Kereta kalau rosak boleh dibaiki lagi. Kepala anak-anak ini kalau pecah, macam mana?” soalnya, sambil menambah sudah banyak kali dia mendengar tentang kecederaan yang berlaku, namun tidak dipastikan tahap kecederaannya.
Jalan yang rosak merosakkan pemandangan di dalam kuarters polis.
Manakala suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Hanim, berkata masalah jalan berlubang itu menjadi lebih teruk pada waktu malam kerana keadaan gelap yang menyukarkan penghuni menjangka kedudukan sebenar lubang.

“Malam pun, banyak tiang lampu yang tidak beroperasi menjadikan suasana sangat gelap. Kita berjalan, naik motor pun boleh terlanggar lubang. Apatah lagi kanak-kanak,” katanya yang juga isteri salah seorang anggota yang menetap di situ selama hampir 7 tahun.

Sebelum berlalu, Wan sempat menunjukkan sebuah tadika dan taman permainan yang terdapat di dalam kuarters itu yang tidak terjamin keselamatannya.

Walaupun tadika yang bersebelahan taman permainan itu dicat dengan berwarna-warni, namun kawasan yang dipagari dawai itu, sebahagiannya telah ranap.
Kelihatan pagar dawai yang memagari tadika telah runtuh.
Seorang lagi isteri anggota polis yang mahu dikenali sebagai Hayati memberitahu, kawasan itu menjadi lokasi kegemaran kanak-kanak untuk bermain bola hampir setiap petang.

Bagaimanapun, suaminya tidak pernah membenarkan 3 anaknya keluar bermain kecuali dia dan suami turut sama menemani.

“Saya takut anak saya bermain dalam kawasan perumahan ini. Sangat bahaya. Lebih baik saya kurung sebelum berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Tinjauan di sebuah kuarters polis di Kuala Lumpur yang dikatakan berusia lebih 10 tahun, FMT ditemukan dengan seorang pegawai polis yang mahu dikenali sebagai Faris.

Didapati celah-celah dinding rumah Faris sudah bertukar warna, tombol pintunya longgar dan hampir terlucut daripada lubang pintu.

Faris adalah penghuni ke-2 rumah tersebut. Penghuni pertama berpindah ke Terengganu.

Siling di salah satu bilik tidur juga berlubang dikatakan akibat gigitan tikus, yang kemudiannya retak, rapuh dan tertanggal dari rangka siling.

“Bila keadaan bertukar lompong begitu, anak-anak takut nak tidur dalam bilik. Mereka mula fikir benda bukan-bukan. Ularlah, biawaklah, tikus gergasilah konon, dan macam-macam,” katanya.
Lubang di siling rumah anggota polis akibat gigitan tikus. 
Berbeza pula keadaannya di sebuah kuarters usang berdekatan sekolah di Kuala Lumpur. Disebabkan kawasan itu sempit dan padat, kenderaan penghuninya selalu menjadi mangsa kemalangan kecil.

Seorang anggota, Azim, 29, berkata, laluan yang sempit hanya memuatkan sebuah kereta untuk lalu.
“Kalau kereta tu besar sikit, memang bergesel habis.

“Lebih teruk, pemilik kereta tidak tahu siapa yang langgar kereta mereka. Yang masuk sini pun ibu bapa hantar dan jemput anak daripada pengasuh. Ada juga pemandu Grab ambil penumbang,” katanya.

FMT sedang berusaha menghubungi Jabatan Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan penjelasan berhubung kedaifan fasiliti di kuarters polis yang dikunjungi.

Tiada ulasan: