Ahad, 27 Januari 2019

‘PH kalah bukti rakyat tolak kerajaan rasis dikuasai DAP’

Oleh Siti Fatimah Ishak

Rakyat beri mesej jelas, pilih PH adalah kesilapan yang perlu diperbetul



BANGI – Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands membuktikan rakyat menolak kerajaan rasis yang dikuasai parti tamak haloba, DAP.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, rakyat telah mendapat pengajaran yang sewajarnya dan memberi mesej yang jelas bahawa memilih PH adalah kesilapan yang harus diperbetulkan.

“Janji kosong sebelum pilihan raya yang dibuat oleh PH umpama bulu-bulu ayam yang sudah gugur sepenuhnya, kini terserlah lembaga musang yang bakal membaham setiap ekor ayam yang masih ada di dalam reban,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan PRK Cameron Highlands semalam, apabila memihak kepada Barisan Nasional (BN), selepas calonnya, Ramli Mohd Noor mewakili suku kaum orang asli memperoleh majoriti 3,238 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (DAP), M Manogaran.

Ustaz Abdullah berkata, keputusan PRK adalah isyarat kepada PH, kerana selama sembilan bulan memerintah, mereka gagal membawa dasar yang memberikan keadilan untuk seluruh rakyat.

“Ditambah dengan dasar rasis yang menggalakkan fanatik perkauman, ianya telah mencetuskan ketakutan dan kebimbangan yang meluas di kalangan rakyat,” katanya.


Tiada ulasan: