Ekoran berlaku pelanggaran peraturan semasa PRK Cameron Highlands baru-baru ini Bersih mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberikan kuasa mendenda.
Bercakap pada sidang media hari ini Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata kuasa itu perlu diberikan kepada Bersih untuk menangani kes-kes kesalahan kecil.
Katanya langkah itu boleh dibuat dengan meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 agar SPR dibenarkan mengambil tindakan penguatkuasaan.
"Bersih mahu mencadangkan supaya SPR diberi lebih kuasa untuk menguatkuasakan peraturan pilihan raya, termasuk mengenakan denda ke atas calon atau kesalahan lain seperti memberi ais krim atau makanan percuma, atau memakai baju dengan lambang parti memasuki pusat pengundian.
"Ada keperluan agar dibezakan di antara kesalahan kecil dengan kesalahan serius.
"Buat masa ini undang-undang pilihan raya tidak membezakannya," kata Fann di Petaling Jaya hari ini.
Menjelaskan lagi cadangan berkenaan Fann berkata langkah yang dikemukakan itu sama seperti cara pihak polis mengeluarkan saman kepada pengguna jalan raya yang melanggar had laju.
"Kamu diberikan kompaun, atau kamu pergi ke mahkamah (jika enggan membayar denda)," katanya.
Selain itu Fann mencadangkan SPR memberi taklimat prapilihan raya kepada semua calon dan ejen masing-masing bagi menjelaskan peruntukan dalam undang-undang pilihan raya.
"Tak perlu mengadakan seminar sehingga dua hari, tetapi memadai dengan taklimat selama kira-kira tiga jam dan ia akan banyak membantu calon dan ejen masing-masing.
"Dengan itu diharapkan kita dapat melihat berlaku penurunan kesalahan pilihan raya dibuat," katanya.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan