Selasa, 29 Januari 2019

Tahfiz terbakar: DNA pada tong gas tak sepadan tertuduh, kata polis


Gambar Bernama.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, yang mendengar perbicaraan kes pembunuhan 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah diberitahu terdapat kesan DNA pada tong gas yang ditemukan di pusat tahfiz itu, dipercayai digunakan untuk membakar bangunan tersebut, 2 tahun lalu.

Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Inspektor Mohamad Fairol Abu Bakar berkata, DNA milik seorang lelaki itu diperoleh pada bahagian kepala paip tong gas itu.

Saksi pendakwaan ke-37 itu bagaimanapun berkata DNA itu tidak sepadan dengan kedua-dua lelaki yang merupakan tertuduh dalam kes pembunuhan itu.

“Berdasar laporan kimia, ya, benar (laporan DNA seorang lelaki telah ditemui dan ia tidak sepadan dengan kedua-dua tertuduh),” katanya ketika pemeriksaan balas peguam Haijan Omar yang mewakili kedua-dua tertuduh.

Perbicaran dilakukan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah hari ini.

Fairol ketika kejadian bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju.

Beliau bertanggungjawab mengendalikan barang kes berkaitan kebakaran itu termasuk yang diperoleh di tempat kejadian, daripada mangsa dan tertuduh.

Pada prosiding sama, saksi pendakwaan ke-38, Penolong Pegawai Perubatan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Muhd Yunus Muhamad Nor berkata pada hari kejadian beliau mendaftarkan semua 23 mayat mangsa kebakaran itu.

Yunus yang bertanggungjawab mendaftar, menerima dan menyerahkan mayat di Jabatan Forensik itu berkata semua mayat diterima dari 10.45 pagi hingga 12.30 tengah hari, pada hari yang sama kejadian kebakaran itu berlaku.

“Selepas pendaftaran selesai, saya serahkan mayat kepada pegawai perubatan untuk dibedah siasat,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz.

Saksi berkata bedah siasat ke atas semua mangsa dikendalikan 4 pegawai perubatan iaitu Dr S Kunasilan, Dr Nurliza Abdullah, Dr Siew Sheue Feng dan Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 September 2017.

Kedua-dua tertuduh yang kini berumur 18 tahun masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung 18 Februari.

Tiada ulasan: