Selasa, 29 Januari 2019

KKM beri amaran henti jual, edar produk berkenaan serta merta

ISMA WEB

BANGI – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai untuk menghentikan penggunaan tujuh produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu hydroquinone dan tretinoin, hydroquinone serta merkuri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk Tati Ultra Night Cream, Deeja Wrinkle Cream, Robisis-Anti-Acne Whitening Day & Night Cream, Asdanne Whitening Freckle Day Cream dan Fulenze-Whitening Freckle Day Cream dikesan mengandungi merkuri.

Manakala produk Tati Ultra Treatment dan Deeja Dream Cream pula dikesan mempunyai kandungan hydroquinone dan tretinoin serta hydroquinone.

Beliau berkata, notifikasi produk-produk kosmetik terbabit telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual berkenaan.

“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

“Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengingatkan orang awam yang sedang menggunakan produk terbabit supaya segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada kosmetik@npra.gov.my. Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA https://www.npra.gov.my ,” katanya.


Tiada ulasan: