Sabtu, 26 Januari 2019

[TERKINI] PRK Cameron Highlands

THE MALAYSIAN TIMES
 


TANAH RATA: Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) P.078 Cameron Highlands bermula pada pukul 8 pagi ini dengan ia dijangka berakhir secara berperingkat mulaI pukul 1 tengah hari hingga pukul 5.30 petang ini mengikut kawasan pengundian.

Kawasan pilihan raya tanah tinggi itu turut merangkumi dua kawasan Dewan Undangan Negeri – Tanah Rata dan Jelai – dengan 31,639 pengundi layak mengundi hari ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan 86 saluran mengundi untuk mempercepatkan proses mengundi.

Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi DAP Pahang M.Manogaran yang mewakili Pakatan Harapan (PH); bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor mewakili Barisan Nasional (BN); serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib yang merupakan bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki dan Wong Seng Yee yang merupakan petani tempatan dengan kelulusan dari Amerika Syarikat.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Mei (PRU14) tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Berikut adalah perkembangan mutakhir perjalanan PRK P.078 Cameron Highlands;

8.30 – Walaupun suhu di sekitar 15 darjah Celsius di Brincang, Tanah Rata dan Ringlet,pengundi dilihat mula beratur di pusat-pusat pengundian seawal pukul 7.30 pagi. Pengundi juga dilihat mula beratur seawal pukul 7.30 pagi di Sekolah Kebangsaan Tanjong Gahai, lebih kurang 100 kilometer dari sini, di mana Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdi Wan Ismail dijangka mengundi.



 
8.50 MB Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri Datin Seri Burhah Mohammed tiba di SK Tanjung Gahai, Lipis dan mengundi di saluran 1.

“Saya sedia bekerjasama dengan mana-mana calon yang menang untuk bangunkan Cameron Highlands,” katanya kepada pemberita yang menunggu.

8.55 – Tan Sri M.Kayveas tiba di SMK Tanah Rata untuk mengundi.

9.00 – Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun melawat pusat mengundi di SK Kampung Raja

9.30 – Cuaca cerah menyebabkan semakin ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab di SK Tanjung Gahai, Lipis dan Sungai Koyan. Ramai mahu mengelakkan cuaca panas pada tengah hari.

10.05 – Di SJK(C) Bertam Valley, pengundi masih tidak putus-putus keluar masuk, cuaca juga baik sekitar 19 darjah celsius.

10.05 – SPR umum 15 peratus daripada 31,639 pengundi telah keluar mengundi sehingga pukul 9 pagi

10.15 – Lee Siam Cheng, 97, antara pengundi tertua yang menunaikan tanggungjawab mengundi di SJK(C) Bertam Valley.

10.30 – Sekumpulan wanita Orang Asli dilihat pulang selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di SK Tanjung Gahai.

10.45 – Jalan di pekan Brinchang mula sesak dengan kenderaan pelancong dan pengundi di hadapan pusat mengundi SJKC Brinchang.

10.50 – Kumpulan penyokong PH dan BN dilihat berada pada jarak 50 meter dari SMK Sultan Ahmad Shah lengkap dengan bendera dan baju parti masing-masing.

10.50 – Ketua Polis Pahang Datuk Mohd. Zakaria Ahmad meninjau perjalanan PRK Cameron Highlands di SMK Sultan Ahmad Shah.

11.00 – Sebanyak 33 peratus daripada 31,639 pengundi telah keluar mengundi dalam tempoh dua jam setakat pukul 10 pagi menurut SPR. Ini mungkin petunjuk awal akan angka bilangan keluar mengundi yang baik bagi pilihan raya kecil ini.

11.35- Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun meninjau perjalanan PRK Cameron Highlands di SJK (T) Ringlet.

11. 45 – Peratus keluar mengundi telah capai 47 peratus dalam tempoh tiga jam sehingga pukul 11 pagi ini menurut SPR. Ini satu angka yang memberangsangkan dan kemungkinan 70 peratus daripada pengundi keluar mengundi boleh dicapai.

12.00 – Kehadiran pengundi di SJK(C) Bertam Valley mula berkurang berbanding pada pagi tadi.

12.05 – Calon BN Ramli Mohd Noor lawat pengundi di luar perkarangan pusat pengundi SK Betau, Lipis.

12.30 – Trafik di sekitar Tanah Rata nampak terkawal sekarang ini, dan tiada kesesakan seperti yang dijangka pada awalnya.

– Sebanyak 55 peratus daripada pengundi telah keluar mengundi dalam tempoh empat jam setakat pukul 12 tengah hari menurut SPR, satu angka yang mengagumkan

13.10 – Calon PH Manogaran tiba di SK Betau, Lipis untuk bertemu pengundi di situ.

1400 – Trafik sekitar Tanah Rata masih terkawal, tiada kesesakan luar biasa.

1405 – Peratus keluar mengundi telah meningkat ke 60 peratus, mengatasi angka yang direkodkan pada empat PRK sebelum ini.

Tiada ulasan: