Khamis, 31 Januari 2019

Senator bidas 'tai chi' PH isu warga tanpa negara

 
   

Seorang ahli Dewan Negara daripada MIC menggesa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak berdolak-dalik lagi dalam isu warganegara yang dijanji akan selesaikan dalam masa 100 hari selepas Pakatan Harapan menerajui kerajaan.

Menurut T Mohan, beliau tidak risau dengan janji-janji yang lain dimungkiri PH, tetapi janji menyelesaikan isu warganegara adalah sangat penting kerana ia melibatkan hak seorang individu yang lahir di Malaysia.

"Kalau PH nak tipu dengan janji-janji lain, saya tidak begitu bimbang.

“Tetapi, yang ini sangat penting kerana status kewarganegaraan akan memberi kesan yang negatif kepada mereka yang lahir di sini, namun tidak diberi kerakyatan," katanya dalam satu sidang media di Puchong, semalam.

Mohan turut memperkenalkan seorang individu bernama P Subramaniam yang masih bergelut untuk mendapatkan status warganegara.

"Saya sendiri mengurus kes ini selama lebih 15 tahun. Setiap kali, kami membuat permohonan bagi pihak beliau, JPN sentiasa menolak permohonannya dengan pelbagai alasan.

“Namun, akhirnya mereka mengambil permohonan beliau bawah program MyDaftar, inisiatif bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Tetapi, apa yang sedih JPN masih tidak melayan permohonannya. Janganlah main 'tai chi'. Datang sahaja ke dekat, terus ditolak," katanya.

Jelas Mohan lagi, dalam kes Subramaniam yang kini berusia 40 tahun didapati lahir di Hospital Universiti Malaya pada 15 Jun 1978.

"Carian mendapati beliau lahir Malaysia dan emaknya yang masih hidup merupakan seorang warga Malaysia.

:Apakah ia tidak mencukupi bagi JPN untuk meneliti permohonan Subramaniam?" soal Mohan sambil menambah beliau mengalu-alukan JPN membuat ujian DNA ke atas Subramaniam sebelum diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

Dalam pada itu, Mohan turut mempersoalkan inisiatif kerajaan PH, khususnya menteri-menteri kabinet berkenaan isu warganegara.

"Sebelum PRU14, kita nampak pahlawan-pahlawan ini merentas ke seluruh negara, kata BN tak buat ini, tak bagi IC, ada 300,000 kaum India masih tidak mempunyai taraf kewarganegaraan dan sebagainya.

“Sekarang semuanya sudah membisu. Tak ada keberanian untuk bersuara," tegas Mohan.

"Saya minta kerajaan PH segera memberi perhatian kepada kes-kes sebegini agar mereka tidak hidup merempat di negara sendiri," ujarnya lagi.

Terdahulu, Subramaniam meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempercepatkan permohonan taraf kerakyatan beliau.

"Sudah 15 tahun saya berusaha. Tidak ada kerja tetap. Sudah kahwin dan mempunyai tiga anak. Tetapi, sijil kelahiran tidak mempunyai nama saya. Tolong faham kesedihan saya."

"Saya sedia berjumpa sesiapapun di mana sahaja agar saya dapat iktiraf sebagai rakyat Malaysia," katanya sambil menambah beliau sentiasa membawa bersama fail permohonannya bersama-sama.


Tiada ulasan: