Khamis, 31 Januari 2019

Anak Altantuya: Bapa enggan jaga saya lepas kematian ibu

 
   

Bayarkhuu Bayarjargal memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bapanya - yang sudah lama berpisah dengannya - enggan menjaganya selepas kematian ibunya, Altantuya Shaariibuu.

Ketika sesi soal balas, peguam Manjeet Singh Dhillion membangkitkan soal bapa Bayarkhuu, Bayarjargal Bayasgalam, yang merupakan seorang penyanyi rap di Mongolia.

Manjett merujuk Bayarjargal dengan nama pentasnya, Maadai.

"selepas Oktober 2006, adakah datuk anda mencadangkan anda tinggal bersama bapa?" soal Manjeet yang mewakili salah seorang defendan, Abdul Razak Baginda.

"Saya ingat selepas kematian emak, bukan saja datuk cadangkan agar saya bertemu dengannya, saya juga memang mahu berjumpa dengannya," kata Bayarkhuu.

"Saya berjumpa dengan datuk sebelah bapa yang beritahu dia (Maadai) sudah berkahwin semula dan ada anak lain. Dia enggan terima saya," katanya, yang berusia sembilan tahun ketika Altantuya dibunuh.

Manjeet berkata beliau membangkitkan soal bapa Bayarkhuu, yang disifatkannya sebagai penyanyi rap yang berjaya di Mongolia, kerana saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya turut memasukkan tuntutan tanggungan.

Bayarkhuu, 21, berkata dia pertama kali bertemu bapanya pada 2011 dan ketika itu bapanya memaklumkan baru balik dari United Kingdom. Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada Maadai sebelum itu tinggal disana.

Katanya lagi, dia kini sekali-sekala ada bertemu bapanya, ada kala selang beberapa tahun.

Manjeet kemudian merujuk artikel berita pada 2006 di mana Maadai dilaporkan berkata dia akan "bertemu dan memujuk bekas mentaunya untuk memberi hak penjagaan anak kepadanya" jika Altantuya sah meninggal dunia.

"Adakah anda tahu bapa anda mahu hak penjagaan terhadap anda?" soalnya.

Mengatakan kali terakhir bertemu bapanya sebelum datang ke Malaysia, Bayarkhuu berkata dia tidak setuju dengan kandungan artikel itu.

"Saya bercakap dengannya secara bersemuka, (pendiriannya) begitu jelas ketika itu. Dia minta maaf kerana tiada bersama ketika saya membesar.

"Sebagai anak, saya rasa dia tidak mahukan saya. Dia akuinya dan minta maaf," katanya.

Tanya Manjeet lagi: "Adakah anda tahu, selepas 2006, bapa anda sayangkan anda dan mahukan yang terbaik untuk anda?"

"Saya tahu saya ada bapa tetapi tak pernah merasakan sebarang kasih sayang daripadanya," jawab Bayarkhuu.

'Bayar nama popular di Mongolia'

Manjeet kemudian mencadangkan bahawa Bayarkhuu - nama asalnya Mungunshagai Bayarjargal - menukar namanya kepada nama sama dengan bapanya kerana hubungan rapat mereka.

"Saya tak setuju. Bayar nama sangat popular di Mongolia. Ini tidak bermakna saya berbangga dengan bapa saya," katanya, sambil menambah ia bermaksud 'kegembiraan' dalam bahasa Mongolia.

Manjeet juga bertanya jika dia tahu sama ada Maadai diberi peluang untuk membesarkannya.

"Saya tidak tahu tetapi saya tahu dia enggan terima saya," kata Bayarkhuu.

Ketika Manjeet bertanya sama ada bapanya mampu untuk menjaganya selepas 2006, Bayarkhuu berkata: "Macam mana saya tahu, saya tak pernah berjumpa dengannya (ketika itu)."

Merujuk artikel sama, manjeet memetik Maadai sebagai berkata, "Saya boleh menjaganya. Saya sayangkannya dan saya mahukan yang terbaik untuknya".

Bayarkhuu hanya menjawab: "Saya tak setuju."

Pendengaran bersambung Mei ini dengan sesi soal balas dengan bapa Altantuya, Shaariibuu Setev.

Bayarkhuu adalah plaintif ketiga dalam saman sivil RM100 juta terhadap Abdul Razak, kerajaan Malaysia dan dua individu yang sabit kesalahan atas pembunuhan warga Mongolia itu.


Tiada ulasan: