Selasa, 29 Januari 2019

DAP pernah bantah BN tolak visa atlet Israel

Muhammad Azizul Osman

Khairy Jamaludddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini bangkit mempertahankan dirinya berhubung dakwaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam.

Menurut Khairy, BN pernah menolak dua permohonan visa daripada atlet Israel bagi Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia anjuran Persekutuan Luncur Angin Antarabangsa (Isaf) pada 2015.

Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Rembau itu, DAP pernah membantah penolakan itu dengan menyifatkan BN menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.

“Saya hanya mahu mengingatkan YB Menteri @SyedSaddiq bahawa pada 2015 apabila dua parasailer Israel ditolak visa oleh kerajaan.

“@Khairykj dibantah oleh ahli gabungan anda sendiri,” katanya di Twitter.

Khairy membuat ciapan berkenan setelah Menteri Belia dan Sukan itu mendedahkan BN pernah membuat persetujuan kepada Jawatankuasa Para Antarabangsa (IPC) untuk membenarkan atlet Israel memasuki negara ini, dua tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan Syed Saddiq dalam kenyataan IPC berhubung penarikan balik kelayakan penganjuran kejohanan renang paralimpik antarabangsa di Malaysia.

“Saya agak musykil kenyataan yang dikeluarkan oleh IPC.

“Mereka memaklumkan dalam satu perenggan bahawa pada tahun 2017, ada persefahaman dengan kerajaan sebelum ini bahawa untuk membenarkan dan tiada prasyarat membenarkan atlet Israel untuk masuk ke negara ini.

“Rakan media boleh tanya apa pendirian kerajaan terdahulu mengenai isu ini,” jelas Ahli Parlimen Muar itu semalam.

Khairy turut memuatkan laporan media tempatan mengenai desakan ke atas beliau itu.

Dalam laporan itu, Ketua Biro pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin  menyelar tindakan Khairy kerana menafikan visa dua peserta luncur angin dari Israel yang dijadual menyertai satu kejohanan di Langkawi pada ketika itu.

Menurut Zhemin, sukan sepatutnya melampaui sempadan politik dan perlu berkecuali daripada politik. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: