SPR pertimbang buat laporan polis calon PH langgar peraturan
TANAH RATA
– Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang berakhir hari ini
menunjukkan peningkatan kesedaran rakyat dan parti politik terhadap
proses pilihan raya yang lebih telus, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.
Walaupun terdapat beberapa isu
dibangkitkan parti yang bertanding sepanjang kempen 14 hari, Azhar
berkata, secara keseluruhan pihaknya amat berpuas hati dengan perjalanan
PRK yang berakhir pada malam ini.
“Terutama dari segi kesedaran dan
keprihatinan parti yang bertanding dan calon yang terbabit serta rakyat
Malaysia secara keseluruhan mengenai undang-undang kesalahan pilihan
raya dan betapa penting pilihan raya dijalankan secara telus dan adil,”
katanya kepada pemberita selepas keputusan PRK berkenaan diumumkan.
PRK itu menyaksikan pertembungan empat
penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran, calon Barisan
Nasional (BN) Ramli Mohd Nor, dan dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib
serta Wong Seng Yee yang dimenangi calon BN dengan majoriti 3,238 undi.
Azhar berkata, PRK berkenaan juga
mencatatkan peratusan keluar mengundi lebih tinggi iaitu 68.79 peratus
berbanding empat PRK sebelum ini dengan PRK Port Dickson mencatatkan
58.2 peratus manakala yang lain-lain di bawah 50 peratus.
“Saya rasa dinamik PRK ini berlainan
dengan yang lain kerana di sini kedua-dua calon utama, satu datang dari
PH yang mentadbir kerajaan Persekutuan dan satu lagi calon BN yang
menerajui kerajaan negeri, tambah pula isu-isu semasa, jadi lebih ramai
pengundi keluar undi,” katanya.
Azhar turut menyerahkan kepada rakyat
untuk menilai prestasi SPR sepanjang proses PRK berkenaan diadakan sama
ada mereka kini lebih telus atau sebaliknya.
Mengenai gesaan Bersih supaya SPR membuat
laporan polis terhadap insiden calon PH memasuki pusat pengundian
dengan memakai baju berlogo parti, Azhar berkata, pihaknya akan
mempertimbangkan perkara itu.
“Lepas kita dapat semua fakta, mungkin
kita akan dapatkan pandangan undang-undang dan ambil tindakan
sewajarnya,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan