SEPANG: Menteri pelancongan, seni dan budaya berkata pegawai kerajaan yang disiasat pihak berkuasa tidak layak ditawarkan jawatan baru, oleh itu pelantikan yang kini dipersoalkan mungkin berlaku sebelum siasatan rasmi bermula.
Datuk Mohamaddin Ketapi ditanya mengenai dakwaan seorang pegawai kanan Tourism Malaysia dinaikkan pangkat walaupun terlibat dalam urusan “diragui” yang menandakan percanggahan kepentingan.
Menteri maklum akan dakwaan itu tetapi tidak boleh memberikan sebarang butiran kepada pemberita.
“Saya tidak mahu mengganggu kes berkenaan yang masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Tourism Malaysia dan Malaysia Airports Holdings Berhad.
Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof ketika ditemui juga enggan mengulas dakwaan tersebut.
Musa berkata dia tidak tahu perkara itu dan akan mengarahkan pegawainya meneliti dakwaan tersebut.
Terdahulu, bekas ahli Parlimen Wee Choo Keong memberitahu FMT mengenai seorang pegawai Tourism Malaysia yang mencadangkan promosi bersama antara agensi itu, Geeko Tech Sdn Bhd dan Koperasi Kakitangan Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia Berhad (Koppema) pada 19 Januari 2018.
Geeko Tech ditubuhkan pada 6 November 2017 dan Koppema salah seorang pemegang sahamnya. Menurut Wee, pegawai Tourism Malaysia itu memainkan peranan penting dalam Koppema ketika itu.
Merujuk kepada minit mesyuarat Tourism Malaysia, Wee berkata, promosi bersama berpusat kepada pengenalan sistem “SMART Tourism”, platform untuk promosi pamasaran digital, pada harga RM1,167,900.
Katanya, minit itu menunjukkan pegawai tersebut gagal menyatakan Koppema adalah pemegang saham dalam Geeko, di mana dia sebahagian daripadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan