Ahad, 27 Januari 2019

IDE: Faktor calon penyumbang utama kemenangan BN

MALAYSIAKINI

   

Calon yang sesuai menjadi faktor utama membantu BN memenangi PRK Cameron Highlands semalam, kata sebuah badan pemikir Selangor hari ini.

Menurut Institut Darul Ehsan (IDE) analisis mereka mengenai PRK terbaru itu menunjukkan BN bertindak dengan tepat apabila meletakkan calon yang mewakili demografi pengundi setempat.

"Faktor utama kemenangan BN ialah calon yang dihantar itu mewakili demografi pengundian iaitu 55 peratus adalah kawasan Melayu dan Orang Asli," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut IDE BN juga menyatakan jika calon terbabit menang, maka dia menjadi Orang Asli pertama menjadi wakil rakyat di Dewan Rakyat.

Kata institut itu lagi BN juga tidak mengaitkan Ramli Mohd Nor - calon BN yang menang semalam - sebagai wakil dari Umno.

Katanya BN turut mengambil pendekatan pragmatik dengan menukar calon di kerusi tradisi milik MIC itu kepada Orang Asli dan langkah itu memberikan kesan khusus kepada kepada psikologi pengundi, khususnya dalam kalangan Melayu.

Menurut IDE lagi, kelebihan yang membawa BN menang dengan majoriti lebih besar semalam berbanding keputusan PRU ke-14 disumbangkan oleh pengundi yang berada di kawasan DUN Jelai.

Gagal beri respon sewajarnya
 
"BN berjaya mengekal 'bank undi' mereka di Jelai yang terdiri daripada 64 peratus pengundi Melayu, 34 peratus Orang Asli dan 2 peratus Cina dan India.

"Tujuh daerah mengundi di Jelai memiliki komposisi Melayu sebanyak 60 peratus dan lebih, manakala lima daerah mengundi lain terdiri daripada Orang Asli," katanya.

Menurut IDE di kawasan mengundi majoriti Melayu ia masih dimenangi oleh BN.

Sementara itu katanya pertambahan lebih 1,300 undi untuk BN - daripada 10,307 kepada 12,038 - disumbangkan oleh sebahagian ahli PAS yang ada di DUN berkenaan.

Walaupun begitu analisis IDE di kawasan majoriti Melayu di Jelai mendapati ketika ramai penyokong Umno keluar mengundi, masih ada segelintir anggota PAS memilih sebaliknya.

"Pada PRU ke-14, PAS menguasai tiga daerah mengundi yang dimenangi dengan melebihi 40 peratus sokongan," katanya.

Sementara itu analisis sama menunjukkan BN mengambil faedah mengatasi calon PH melalui beberapa isu.

Antaranya ialah:

* Isu tanah Felda dan harga komoditi

* Isu integriti

* Isu dan kesilapan calon PH memberi respon kepada laporan media dan media sosial seperti 'kuih orang asli’, pengagihan wang, kenyataan Senator Bob Manolan, perbalahan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan calon memakai baju dengan lambang parti di tempat mengundi.


Tiada ulasan: