Selasa, 29 Januari 2019

Hanya Lim akan keluarkan kenyataan berkenaan status projek ECRL – Dr M

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Status sebenar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sama ada diteruskan atau sebaliknya akan dimaklumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita tunggu kenyataan Lim Guan Eng. Harap semua sabar,” katanya ditanya pemberita mengenai status projek ECRL itu selepas menghadiri taklimat tertutup bersama peneraju badan berkanun sempena Program Eksekutif Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan di sini semalam.

Ditanya sama ada satu keputusan sudah dibuat kerajaan mengenai projek berkenaan, Dr Mahathir mengulangi bahawa semua maklumat mengenainya akan dijelaskan oleh Menteri Kewangan.

Ditanya berkenaan kenyataan berbeza yang dikeluarkan mengenai projek ECRL itu sebelum ini, Dr Mahathir berkata semua orang membuat silap dan ia dilihat besar pada mata masyarakat.

“Kadang-kadang semua orang buat silap. Walaupun kita buat silap kecil namun, ia dilihat begitu besar hanya kerana kami sebuah kerajaan baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menafikan penyebaran surat yang menggunakan kepala surat kerajaan berhubung projek berkenaan.

“Sekarang ini, semua orang boleh ambil surat kerajaan dan letak kepala surat kerajaan.. itu bukan rasmi,” katanya.

Lim pada Ahad dilaporkan berkata segala kenyataan rasmi berhubung projek ECRL akan dibuat minggu ini.

Menurut Lim, perkara itu amat sensitif kerana ia membabitkan kontrak bersama China Communications Construction Group Ltd (CCCC) dan pelbagai pihak lain.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini dilapor mengumumkan kerajaan membuat keputusan membatalkan projek ECRL, dan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet Khamis lepas. Lim kemudian dilapor terkejut dengan kenyataan Azmin itu.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kerajaan hari ini harus mencari cara untuk menangani masalah kos sara hidup yang tinggi dihadapi rakyat di negara ini.

“Kita perlu tahu apa yang mereka tidak gembira tetapi kebanyakan yang paling mempengaruhi mereka ialah kos kehidupan yang tinggi.

“Kos kehidupan yang tinggi untuk orang kaya tidak membawa apa-apa makna bagi mereka tetapi bagi mereka yang miskin ia satu masalah besar,” katanya

Beliau berkata, kebanyakan orang miskin tinggal di kawasan luar bandar dan kerajaan terpaksa mencari jalan bagi mengurangkan kos kehidupan dan membantu mereka untuk memperoleh pendapatan yang lebih baik.—Bernama

Tiada ulasan: