Ahad, 27 Januari 2019

Kerjasama UMNO-PAS akan hasil tsunami Melayu lebih hebat

Siti hafidah


PRK Cameron Highlands bukti Melayu, Bumiputera tolak DAP

BANGI – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, membuktikan orang Melayu dan Bumiputera yakin UMNO dan PAS adalah sandaran terbaik dalam memperjuang kepentingan mereka di negara ini, tanpa menafikan hak kaum lain.

Bahkan, ia juga adalah permulaan penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH), apabila rakyat mula menunjukkan pendirian tegas mereka terhadap prestasi PH yang teruk.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin orang Melayu dan Bumiputera tidak akan terpedaya dan memilih parti seperti DAP, yang jelas menolak konsep kedudukan khas Melayu dan Bumiputera melalui ideologi Malaysian Malaysia.

“Apatah lagi DAP dilihat hanya memfokuskan kepada kepentingan masyarakat Cina semata-mata. Semua kerusi yang dimenangi DAP di seluruh Malaysia adalah daripada komuniti yang majoriti penduduknya adalah berbangsa Cina. Ini adalah bukti paling jelas.

“Selain itu, kemenangan ini petunjuk jelas bahawa isu dan kepentingan orang asli bukan perkara yang boleh diambil mudah. Orang asli bukan golongan yang boleh diperkotak-katikkan dengan imbuhan dan ganjaran bermusim.

“Apatah lagi dihina secara terbuka sebagai komuniti separa warganegara. Penghinaan seperti itu bukan sahaja keterlaluan dan menggambarkan kejahilan mengenai perkara asas negara kita, malah menunjukkan keterdesakan dan kekontangan modal politik yang kritikal dalam DAP,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengimbau kenangan PRK Cameron Highlands, Khaled Nordin mengakui sokongan daripada PAS sangat penting untuk kemenangan UMNO.

“Lebih manis dan bermakna ialah sokongan padu PAS kepada BN. PAS telah menjadi rakan strategik UMNO yang penting dan perkara ini sudah pasti tidak disenangi parti kerajaan yang tidak mahukan orang Melayu dan parti-parti pembangkang bersatu serta bekerjasama.

“Kesepakatan UMNO dan PAS jika terus disubur dan digembeleng dengan rapi akan mewujudkan gelombang kebangkitan Melayu Islam yang besar, penting dan mampu melenyapkan PH. Lebih-lebih lagi apabila orang Melayu dan Bumiputera sedar dalam PH suara mereka adalah suara minoriti dan sering tidak dipedulikan.

“Seperti DAP yang menggunakan gelombang penentangan masyarakat Cina untuk mengubah landskap politik Malaysia, kerjasama UMNO dan PAS dalam PRU15 nanti akan menghasilkan gerak gempa dan tsunami Melayu yang berkali-kali ganda lebih hebat dari ‘the Chinese tsunami’ dalam PRU14 lalu,” katanya.


Tiada ulasan: