Saksi,
Rosli Kusmin, 42 bercakap pada sidang media Persatuan Pengguna Subang
dan Shah Alam (CASSA) mengenai saksi dari Indonesia yang telah
menyaksikan kemalangan pesawat MH370 akan bersumpah dengan Al-Quran
mengaku bahawa mereka telah menyaksikan sendiri kejadian itu berlaku di
perairan Sumatera dan hadir bersama bukti yang ada setakat ini di Lake
View Club, Subang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI
SUBANG JAYA – Seorang nelayan warga Indonesia, Rosli Kusmin
bersumpah dengan al-Quran bahawa dia ternampak sebuah pesawat yang
dipercayai MH370 terbakar dan kemudiannya mendarat di permukaan air
sebelum tenggelam berhampiran Selat Melaka dalam kejadian kira-kira jam
7.30 pagi WIB pada 9 Mac 2014.
Menurut Rosli, dia bersama tiga awak-awak sedang mencari ikan di
kawasan perairan Sumatera berhampiran Selat Melaka sebelum terlihat
sebuah pesawat yang diselubungi asap tebal sedang terbang dalam keadaan
teroleng-oleng dan mendarat dengan perlahan di atas air kira-kira tiga
kilometer dari botnya.
“Saya ketika itu sedang bekerja tetapi apabila melihat kejadiaan
tersebut, saya cepat-cepat menaikkan bubu ikan dan prosesnya memakan
masa kira-kira 15 minit.
“Perjalanan untuk sampai ke kawasan kapal terbang berkenaan pula
adalah kira-kira 15 minit tetapi apabila kami tiba, badan pesawat sudah
tidak kelihatan lagi.
“Apa yang tinggal hanyalah asap tebal yang berbau busuk seperti asid datang dari bawah laut.
“Kami cuba mencari tetapi tidak berjumpa apa-apa serpihan tetapi alat
mengesan lubuk ikan yang dipasang pada bot dapat menangkap satu imej
seperti kapal terbang di bawah laut. Kami juga merekodkan kordinat GPS
pada kawasan tersebut,” katanya sambil memegang al-Quran semasa sidang
media di sini hari ini.
Saksi,
Rosli Kusmin, 42 bergambar bersama alat navigasi GPS pada sidang media
Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) mengenai saksi dari
Indonesia yang telah menyaksikan kemalangan pesawat MH370 akan bersumpah
dengan Al-Quran mengaku bahawa mereka telah menyaksikan sendiri
kejadian itu berlaku di perairan Sumatera dan hadir bersama bukti yang ada setakat ini di Lake View Club, Subang Jaya, Selangor. foto IQBAL
BASRI
Rosli diterbangkan khas dari Indonesia oleh Persatuan Pengguna Subang
dan Shah Alam (CASSA) untuk memberi kenyataan kepada media mengenai
insiden yang dilihatnya kira-kira lima tahun lalu.
Menurut Presiden CASSA, Datuk Jacob George, bukti-bukti yang
diperolehi daripada Rosli dan juga hasil siasatan persendirian beliau
bersama pakar-pakar lain akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan
Menteri Pengangkutan dalam tempoh 10 hari lagi.
“Pencarian MH370 tidak pernah dilakukan di kawasan tersebut dan saya
rasa inilah masanya kita melakukan pencarian di situ kerana kita
mempunyai maklumat baharu.
“Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti bergantung kepada naratif yang diberikan oleh Barat.
“Berdasarkan kenyataan Rosli, adalah logik apabila dia terhidu bau
asap seperti asid kerana pesawat berkenaan membawa bateri lithium dan
cara pendaratannya menjawab persoalan mengapa tiada serpihan ditemui
terapung pada hari kejadian.
“Saya harap kerajaan boleh menubuhkan jawatankuasa petugas khas untuk
pergi ke kawasan tersebut, semoga ia akan memberi penamat kepada
keluarga mangsa,” katanya yang turut hadir di sidang media tersebut.
Pesawat Boeing 777 penerbangan MH370 hilang selepas berlepas dari
Lapangan Terbang Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak
kapal pada 8 Mac 2014. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan