ULASAN | Pendidikan adalah perkara yang sangat menarik minat saya. Malah perkara yang seharusnya menarik perhatian semua pihak dalam negara. Justeru, saya antara pihak yang tidak terlepas mengikut amanat menteri pendidikan tempoh hari.
Saya mengambil masa sedikit untuk mengulas amanat saudara Maszlee kerana sedikit sibuk. Lagipun ulasan yang segera akan menyebabkan orang lupa amanat beliau selepas satu hari.
Sekalipun bermula sejam lebih lambat dari masa yang dijadualkan, terdapat beberapa perkara yang harus dipuji dalam amanat tersebut.
Antaranya, pendidikan harus menjadi tanggungjawab semua pihak. Beliau juga menekankan peri pentingnya nilai dan kualiti menjadi inti pati utama pendidikan.
Selain itu kita harus mengurangkan beban guru, autonomi mesti diberikan kepada institusi pendidikan dan institusi pendidikan mesti membumi dan kembali kepada masyarakat.
Malah, tindakan memasukkan M keempat iaitu elemen ‘Manusiawi’ selepas mantera 3M yang kita pegang selama ini, adalah sesuatu yang sangat baik dan kena pada masanya.
Saya setuju, saya sokong dan saya puji semua ini.
Keupayaan penjanaan
Perkara yang seharusnya dihujahkan dengan mendalam dalam memeta hala tuju dan masa depan pendidikan negara. Menteri tidak memberikan trajektori masa hadapan yang meyakinkan dan ampuh untuk menghadapi senario ketidaktentuan pendidikan tinggi negara yang pelbagai.
Misalnya dalam perkara-perkara berikut:
Pertama, isu autonomi universiti. Ini adalah perkara yang sudah lama menjadi fokus kementerian dan telah diselesaikan dengan baik sebelum ini. Banyak sekali usaha yang telah dicurahkan dalam mencari mekanisme terbaik bagi memberikan autonomi kepada universiti.
Ia bukan soal mengisytiharkan sahaja pemberian autonomi ini kepada IPTA. Ia jauh lebih rumit kerana ia melibatkan isu-isu governan dan pertanggungjawaban yang kompleks.
Maka kerana itu, pemberian autonomi kepada IPTA telah melalui beberapa fasa yang akhirnya akan memberikan autonomi penuh kepada IPTA. Malah kebanyakan universiti dan institusi pendidikan Malaysia mempunyai autonomi, sama ada secara penuh mahupun separa.
Sekalipun ini mahu dianggap perkara yang masih kritikal, apakah sebenarnya strategi baru yang Maszlee kemukakan dalam hal ini? Yang nyata, banyak sekali pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah, Ahli-Ahli Lembaga, Naib Canselor serta pegawai tinggi IPTA yang dilakukan berdasarkan pertimbangan politik dan membelakangkan autonomi universiti untuk melakukan proses pelantikan yang telus, bertanggungjawab dan berwibawa.
Gagal beri hala tuju jelas
IPTS lah yang sebenarnya telah menjayakan idea menjadikan pendidikan sumber pertumbuhan ekonomi yang baru dan ideal untuk Malaysia. Namun Menteri Pendidikan Malaysia tidak memberikan perhatian yang didambakan oleh pemain sektor pendidikan tinggi swasta.
Telah lama sektor pendidikan tinggi swasta menantikan jalan ke hadapan yang perlu diutarakan oleh kerajaan bagi menangani pelbagai cabaran persaingan yang mereka hadapi waktu ini.
Kegagalan memberikan hala tuju yang jelas dan tuntas kepada sektor pendidikan tinggi swasta jelas menggambarkan gagalnya Menteri Pendidikan Malaysia memahami keutamaan dan pertimbangan yang strategik untuk masa depan pendidikan tinggi negara.
Ketiga, menteri turut menyentuh tentang aspirasi pendidikan untuk semua serta pendidikan sepanjang hayat. Retorik ini sangat janggal apabila ia sedikit pun tidak dikaitkan dengan keupayaan kewangan atau ekosistem yang mampu memberikan pembiayaan pendidikan yang diperlukan oleh ramai orang.
Misalnya penstrukturan semula PTPTN. Akses dan ekuiti tanpa PTPTN adalah cita-cita yang mustahil dapat dilaksanakan. Tidak sedikit pun disebut, diulas atau dinyatakan apakah pelan dan rancangan kementerian kepada PTPTN dalam konteks hala tuju pendidikan Malaysia.
Atau barangkali menteri tidak menganggap PTPTN sebagai entiti penting dalam aspek pendidikan lalu tidak perlu dibicarakan secara terbuka dan strategik. Atau memang menteri tidak mahu mendepani kegagalan Kerajaan PH menunaikan segala janjinya berkaitan PTPTN yang sehingga saat ini, gagal dilaksanakan.
Tiada idea baru
Bagaimana komitmen beliau untuk merealisasikan pelan ini? Atau mungkin dalam sedikit masa lagi, beliau akan memperkenalkan pelan baru melalui Panel Penasihat Pendidikan yang telah beliau tubuhkan.
Tetapi suka saya mengingatkan beliau bahawa IPTA dan IPTS di negara ini beroperasi bersandarkan hala tuju yang telah diungkapkan dengan jelas dalam PPPTN 2015-2025.
Meneruskan pelan ini adalah sangat kritikal bagi melonjakkan keampuhan sektor pendidikan tinggi Malaysia. Justeru penerusan pelaksanaan Pelan ini memerlukan kemahuan politik yang tidak berbelah bahagi.
Kegagalan berbuat sedemikian telah menghantar mesej yang jelas bahawa merealisasikan PPPTN 2015-2025 bukan keutamaan kepada menteri.
Tetapi janganlah lupa bahawa kelahiran pelan tersebut dibidani oleh Tan Sri Muhyidin Yasin, mantan menteri pendidikan Malaysia yang waktu ini adalah presiden parti Maszlee.
Kelima, terlalu banyak fokus ucapan tersebut tertumpu kepada isu-isu pengurusan pendidikan dan pendidikan tinggi sehingga meminggirkan isu-isu fundamental seperti pelaburan masa hadapan kerajaan dalam sains dan teknologi termaju, ikhtiar penerokaan ilmu-ilmu baru dengan lebih agresif, melestarikan sektor pendidikan menggunakan model alternatif seperti wakaf dan keusahawanan sosial, menjadikan Malaysia hub ilmu dan pengetahuan dan bukan sekadar pendidiikan dan pelbagai lagi isu mendasar yang berkepentingan nasional.
Keenam, Malaysia memerlukan penyelesaian paling komprehensif terhadap pendidikan anak bangsanya dampak globalisasi dan kemajuan manusiawi.
Bukan mendengar cerita tentang cita-cita menteri sewaktu remajanya, mahupun menyaksikan pemaparan cerita sentimentalis antara menteri dengan bekas gurunya hingga bercucuran air mata kedua-duanya.
Pendirian terhadap sekolah vernakular
Lakukan aksi ‘romantisisme’ di kelainan acara dan bukan dalam kesempatan yang wajar dimanfaatkan untuk mengungkap misi nasional yang lebih segar untuk pendidikan bangsa dan putera-puterinya.
Ketujuh, tidak disebut dan dinyatakan pendirian kerajaan terhadap sekolah-sekolah vernakular.
Adakah mahu digalakkan pertumbuhannya, dikurangkan, dikekalkan status qou, atau tidak perlu dibincangkan secara serius sekali pun sangat ramai pelajar yang berada dalam institusi-institusi ini?
Bagaimana pula pendirian Kementerian dalam perkara berkaitan pengiktirafan UEC yang entah bila selesai kajian mengenainya. Semua ini adalah perkara yang mesti diberikan pencerahan kerana sebahagian dari isu ini adalah komitmen yang telah diberikan oleh PH dalam manifesto mereka.
Tahniah saya ucapkan kepada menteri pendidikan atas cubaan yang baik dalam memberikan hala tuju kepada pendidikan negara. Dahulu, saya anggap bahawa menteri tidak mahu bercakap banyak tentang hal ehwal pendidikan tinggi negara.
Mungkin sedang sibuk merancang dan berfikir agaknya. Namun kini saya sudah tahu bahawa menteri tidak tahu apa yang perlu dibuat untuk melonjakkan lagi martabat pendidikan tinggi negara. Bukan tidak mahu bercakap, tetapi tidak tahu sebenarnya.
Tidak mengapalah, cuma, saya harap aspek-aspek yang saya kemukakan ini akan disemak dan dilihat kembali dengan serius.
Pesan saya berhentilah bernostalgia dan mengarang sentimen. Ia tidak akan membawa kita ke mana-mana. Berhenti menangis, mula bekerja.
*MOHAMED KHALED NORDIN merupakan naib presiden Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan