Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini berkata
kemudahan penumpang dan pemandu di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) akan
digunakan sebagai penanda aras untuk menaik taraf terminal bas lain di
seluruh negara.
"TBS boleh jadi model dari segi kemudahan dan pengurusan. Saya telah melawat beberapa terminal di seluruh negara, di Melaka, Alor Setar dan lain-lain.
"Terdapat kemudahan yang baik tetapi kami mahu mencapai tahap yang lebih tinggi, seperti apa yang kami ada di sini," kata Loke yang ditemani Pengarah Urusan TBS Roslan Shariff.
Pada masa depan, Loke berkata kerajaan menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat menyasarkan untuk memperkenalkan rangka kerja peraturan kawal selia kepada pengendali terminal bas, yang memperuntukkan kemudahan minimum yang mesti disediakan.
Cara beli tiket dulu-dulu
"Tidak seperti cara membeli tiket dulu-dulu dari individu di kaunter bas, penumpang sekarang boleh membeli tiketnya daripada mana-mana 70 kaunter di sini dan akan terdapat 19 lagi kaunter tambahan sempena perayaan Tahun baru Cina.
"Hanya penumpang dengan tiket yang sah saja dibenarkan masuk ke kawasan pelepasan dan ini akan menghalang masalah 'ulat tiket'," katanya.
"Sekarang ini purata sekitar 16,000 penumpang sehari dijangka meningkat sehingga antara 18,000 dan 19,000 penumpang," kata Loke sambil menjelaskan terdapat kira-kira 1,000 pelepasan dan ketibaan bas setiap hari di TBS
Bagi memenuhi permintaan penumpang yang meningkat di musim perayaan, Loke berkata kira-kira 300 bas tambahan akan bergerak dari TBS dan semua pengendali bas akan dikenakan caj tambahan sebanyak 10 peratus pada harga tiket.
"Jika kami tidak membenarkan syarikat-syarikat ini untuk memasukkan bayaran caj tambahan maka jumlah perkhidmatan terpaksa dikurangkan.
"Kami tidak mahu situasi kekurangan bekalan berbanding permintaan," katanya.
Beliau
menjelaskan syarikat bas sentiasa dibenarkan untuk mengenakan bayaran
tambahan semasa musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya.
Setiap pemandu juga akan diuji bagi memastikan mereka dalam keadaan yang cergas untuk memandu, jelasnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan