‘Kes pecah amanah, salah guna kuasa Najib boleh dibuktikan dengan mudah’
MALAYSIAKINI
Tokoh Wartawan Negara A Kadir Jasin mendakwa bahawa bekas perdana
menteri Najib Razak sudah mula menggunakan pelbagai tipu helah untuk
melengah-lengahkan perbicaraan kes rasuahnya, seperti juga beberapa ahli
politik lain.
Walau bagaimanapun, katanya, beberapa kesnya itu,
khususnya yang membabitkan kes pecah amanah, salah guna kuasa dan
penggubahan wang haram, boleh dibuktikan dengan mudah berbanding kes
pembunuhan atau liwat.
“Tipu helah mereka ini samalah dengan yang digunakan oleh ahli politik dan pembesar lain yang diseret ke mahkamah sebelum ini.
“Najib
sudah pun memulakannya dengan ‘enggan’ masuk kandang orang kena tuduh
dan pasukan pembelaan beliau membantah kehadiran pegawai tertentu di
pihak pendakwa.
“Yang nampaknya belum digunakan oleh Najib adalah
berpura-pura sakit dan minta dimasukkan ke hospital. Sebaliknya kita
lihat beliau segar-bugar dan cergas berpolitik, membuat tampalan media
sosial dan berkempen pilihan raya kecil,” katanya.
Justeru,
kata Kadir, orang ramai jangan berharap sangat untuk melihat Najib dan
tertuduh lain disumbatkan ke penjara dalam masa yang singkat.
“Melainkan kes yang mudah, macam pengubahan wang haram, dibicarakan dahulu.
“Kita
boleh mengambil perbicaraan pembesar politik sebelum ini sebagai
contoh. Kes pecah amanah dan salah guna kuasa boleh dibuktikan dengan
mudah berbanding pembunuhan atau liwat.
“Ada orang kata, kes pengubahan wang haram (money laundering) juga boleh dibuktikan dengan mudah,” katanya.
Pasukan
peguambela bekas perdana menteri itu sedang berusaha untuk menangguhkan
perbicaraan pecah amanah dan pengubahan wang haram Najib yang
membabitkan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak
syarikat 1MDB.
Dalam perkembangan yang sama, Kadir berkata bahawa
Najib telah menyatakan secara terbuka bahawa skandal 1MDB bukan
kesilapannya seorang diri tetapi "kegagalan sistem".
Najib
mendakwa bahawa 1MDB adalah kerana kegagalan perniagaan dan bukannya
penipuan tetapi bagi Kadir, 1MDB adalah sebuah persepakatan atau
konspirasi penipuan yang melibatkan banyak orang dan pihak di dalam dan
luar negara.
“Adakah
beliau telah menganiaya (incriminate) diri sendiri dengan mengaku
bahawa beliau terlibat dengan kes kegagalan sistemik 1MDB?
“Soalnya
adakah pengakuan beliau itu juga boleh dijadikan bukti sahih
(admissible evidence) dalam perbicaraan beliau dan konco-konconya?
“Kesimpulannya,
dalam bahasa yang mudah Najib berkata memang berlaku kegagalan sistemik
dalam 1MDB dan beliau terbabit. Tetapi bukan beliau seorang sebaliknya
banyak orang lain turut terlibat,” kata Kadir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan