Selasa, 22 Januari 2019

Daim beri amaran risiko teknologi 5G China

 
   
Penasihat kerajaan Daim Zainuddin hari ini menyatakan kebimbangan berhubung teknologi 5G kerajaan China yang menurutnya mempunyai risiko ke atas "kedaulatan digital" negara.

"Ada alasan yang baik untuk takut pada kepesatan perkembangan teknologi 5G China.

"Saya pernah membincangkan sebelum ini tentang kedaulatan wilayah. Tapi hari ini kita juga berdepan risiko pelanggaran 'kedaulatan digital'.

"Meskipun kelajuan pemindahan data dan penyimpanan maklumat meningkatkan kehidupan harian, kita perlu berhenti dan mempersoalkan harga yang kita perlu bayar untuk kemudahan ini.

"Maklumat ini bukan hanya yang kita sengaja kongsi - data tentang apa yang kita buat, ke mana kita pergi, apa yang kita beli, dan apa yang kita kata yang boleh diambil dari peranti harian biasa.

"Apa jaminan keselamatan, pertahanan, peribadi, dan kesan strategik dari teknologi yang sedang diterajui China ini?" katanya dalam sesi dialog yang diadakan Kementerian Pertahanan.

Teknologi 5G China menjadi tumpuan apabila ketua pegawai eksekutif syarikan teknologi Huawei, Meng Wanzhou ditahan oleh pihak berkuasa Kanada susulan permohonan AS.

Beberapa pihak malah mengaitkan teknologi 5G Huawei digunakan untuk tujuan pengintipan untuk China.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zulkifli Zainal Abidin yang menghadiri sesi dialog itu bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk menganggap teknologi 5G Huawei sebagai ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

Zulkifli berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada Malaysia akan menghalang pembinaan rangkaian 5G Huawei.

"Apa-apa yang baik kita akan ambil, tapi apa-apa yang buruk dan mengancam keselamatan dan kedaulatan negara, kita akan tolak.

"Namun, masih terlalu awal untuk kita putuskan, kita perlu kaji dulu," katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan sebagai berkata bahawa Malaysia akan membuat kajian sendiri berhubung teknologi 5G Huawei dan tidak hanya mengikut langkah negara lain

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: