Umat Islam bukan sahaja terikat kepada undang-undang sivil tetapi juga jenayah syariah
BANGI
– Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap tujuh individu yang
memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mencabar
keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai larangan
merokok.
Ini kerana, Seksyen 9 Akta Kesalahan
Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, memperuntukkan bahawa
mana-mana orang yang bertindak, menghina pihak berkuasa agama atau
mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan majlis
atau mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah
melakukan suatu kesalahan.
Jika disabitkan kesalahan mereka boleh
didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak
melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Sebelum ini, tujuh individu memfailkan
permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) di Pejabat Pendaftar Mahkamah
Tinggi di Kuala Lumpur, membantah larangan merokok yang dikuatkuasakan
Kementerian Kesihatan.
Mereka menyatakan asas bagi permohonan
itu antaranya ialah larangan berkenaan bertentangan dengan Perlembagaan
Negara kerana merokok bukan jenayah, dan mempunyai hak sama rata dengan
golongan yang tidak merokok.
Aktivis Concerned Lawyers for Justice
(CLJ), Aidil Khalid dalam satu kenyataan hari ini, menyifatkan tindakan
itu sesuatu yang menyedihkan.
Katanya, amat menyedihkan apabila melihat
semua yang memfailkan cabaran ke atas keputusan kerajaan melarang
merokok di premis makanan itu, terdiri daripada orang Melayu, bahkan
mereka berani mendakwa kononnya merokok bukan jenayah.
Beliau berkata, umat Islam di Malaysia
bukan sahaja terikat kepada undang-undang jenayah umum, tetapi juga
kepada jenayah syariah yang menyentuh tata etika keperibadian seseorang.
“Sejak tahun 1995 lagi, Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam telah
memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram. Mufti Wilayah
Persekutuan turut mengulang tegas pandangan yang sama tahun lalu.
“Demikian juga Selangor dan Pulau Pinang,
telah mewartakan fatwa haramnya merokok, masing-masingnya pada tahun
1995 dan 2004. Justeru, macam mana pula pro-tem Pertahankan Hak Perokok
mendakwa merokok bukan jenayah, walhal kesemua mereka adalah beragama
Islam?
“Maka saya minta, penguat kuasa dan pendakwa syariah, sila bangun, jangan tidur,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan