Jumaat, 4 Januari 2019

PRK: Manogaran kekal calon PH di Cameron Highlands

tyrazalhe

Dr Mahathir yakin Pakatan Harapan menang kerusi Parlimen



BANGI – Pakatan Harapan (PH) menamakan M.Manogaran sebagai calon yang akan mewakili parti itu bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands bulan ini.

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat memutuskan untuk mengekalkan Manogaran sebagai calon, yang pernah bertanding di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Kita akan menang dalam PRK nanti. InsyaAllah kita akan menang. Kita tidak tahu siapa akan bersaing dengan kita. Walau siapa pun akan bertanding, kita percaya dapat mengatasi,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung dalam Facebook Pakatan Harapan, sebentar tadi.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi mengumumkan kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal dan tidak sah. Ia selepas M Manogaran berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Sivarraajh antara lain didapati bersalah memberi suapan kepada pengundi Orang Asli dalam pilihan raya berkenaan.

Hari penamaan calon bagi PRK Cameron Highlands akan diadakan pada 12 Januari, manakala hari mengundi awal pada 22 Januari.


Tiada ulasan: