WALAUPUN jadi salah satu inisiatif paling berjaya dan diterima rakyat dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Tabung Harapan Malaysia masih tidak terlepas daripada kecaman.
Ada pihak yang menyifatkan tabung itu adalah gimik politik PH untuk tingkatkan popularitinya.
Ada juga yang mempersoalkan sama ada ia akan jadi mekanisma kekal dan berpanjangan untuk membayar hutang negara yang dakwa pentadbiran semasa cecah RM1 trilion.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan Lim Guan ENg melihat tabung itu dalam sudut pandang berbeza, menegaskan yang ia adalah aspek mustahak dalam usaha kerajaan membebaskan negara daripada kesilapan silam.
“Dah tentu ia bukan untuk selamanya. Tetapi kita akan teruskan buat masa sekarang. Ia bukan hanya soal wang,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.
“Ia adalah untuk rakyat tunjukkan rasa cinta mereka kepada negara dan kejelikan mereka kepada korupsi sehingga buat kita berhutang RM1 trilion.
“Ia untuk tunjukkan yang kita bersama-sama harungi perkara ini, sama-sama atasi untuk kejayaan bersama.”
Tabung itu diumumkan seminggu selepas PH mengambil alih Putrajaya pada PRU14 yang bersejarah. Sejumlah RM92 juta sudah dikutip setakat ini.
Keputusan itu dibuat selepas beberapa kempen dijalankan individu persendirian untuk mengumpul derma selepas pentadbiran baharu mendedahkan tahap hutang negara lebih tinggi berbanding yang dimaklumkan sebelum ini.
Tabung itu serupa dengan kempen sebelum Merdeka di Tanah Melayu apabila penduduk menggadai barangan kemas dan memberikan wang untuk membiayai lawatan Tunku Abdul Rahman ke London untuk rundingan Merdeka dengan penjajah British.
Sejak dilancarkan, rakyat Malaysia pelbagai latar belakang menderma serendah RM10 sehingga puluhan ribu kepada tabung itu.
Lim juga menggunakan misalah tindakan menderma kepada tabung itu sebagai proses penyembuhan mereka yang mengalami tragedi buruk dalam hidup.
“Bila kita rasa kehilangan, kita rasa menderita. Sama dengan hal ini, kita semua ada skandal (korupsi negara) ini yang kita perlu bersihkan daripada diri kita.”
Lim menganggarkan pembayar cukai perlu menanggung RM50 bilion kerugian dan hutang disebabkan 1MDB yang merupakan skandal terbesar pernah dibongkar kerajaan.
“Pertamanya, kita perlu tahu kebenaran, berdepan dengannya, atasinya dan baru bergerak ke depan. Meletakkan semuanya di belakang,” katanya.
“Tabung itu adalah sebahagian proses untuk berdepan skandal ini. Selepas proses pembersihan ini barulah kita boleh bergerak ke depan dan menyumbang kepada negara.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan