Selasa, 5 Jun 2018

Semua pihak mesti hormat, tidak pertikai kuasa Agong

Oleh Siti Fatimah Ishak

Pemuda Isma bimbang trend politik hina institusi raja tanpa segan silu



BANGI – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, memperkenan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Walaupun masih ramai lagi calon Melayu Islam yang layak dan berwibawa, Ketua Pemudanya, Farid Hussin berkata, sebagai rakyat kita perlu akur dengan keputusan yang telah dibuat Agong berdasarkan pencalonan dan nasihat daripada Perdana Menteri.

Justeru katanya, semua pihak diharapkan tidak mempertikai kuasa raja yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

Pelantikan Thomas disahkan menerusi kenyataan Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang memaklumkan Seri Paduka telah menitahkan pelantikan Peguam Negara baharu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Bagaimanapun dalam masa sama, Pemuda Isma melahirkan kebimbangan terhadap trend yang berlaku dalam politik tanah air terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang mana ada segelintir pihak yang menghina institusi raja.

Lebih malang katanya, individu tidak bertanggungjawab ini tidak segan silu mempertikaikan keputusan yang diambil jika berlawanan dengan apa yang mereka mahu.

“Ini termasuk pihak-pihak yang sengaja memberikan tafsiran yang mengelirukan mengenai kuasa raja dalam Perlembagaan seperti kenyataan Majlis Peguam yang kononnya raja mesti tunduk dan patuh kepada kepada nasihat Perdana Menteri.

“Walaupun hakikatnya jelas peranan Perdana Menteri hanya terhad kepada nasihat dan bukan memberi arahan, dan Agong berhak untuk menolak cadangan dan meminta Perdana Menteri mengemukakan calon yang lain,” katanya.


Tiada ulasan: