Selasa, 5 Jun 2018

Kurta ancam baju Melayu

Isma Web

Jangan kita dilihat seperti sambut Diwali, sedang perayaannya Aidilfitri


DUA minggu saja lagi Aidilfitri akan menjelma. Resamnya, 1 Syawal disambut dengan meriah. Ramai yang sudah berkira-kira untuk menggayakan apakah fesyen untuk dipakai dan diperlihatkan kepada rakan taulan, nanti.

Pun begitu, pastinya sudah ramai yang telah membeli baju raya masing-masing, namun ada juga yang menunggu saat akhir untuk jualan murah dan acara lelong oleh pusat beli-belah, butik atau peniaga kaki lima.

Pedang belum lagi ‘shopping’ baju raya. Namun, Pedang sudah menetapkan apa yang akan dipakai pada 1 Syawal. Sejak beberapa tahun lalu, Pedang sebenarnya memang selesa menggayakan jubah, seharian pada Aidilfitri pertama.

Hanya pada 2 Syawal sahaja Pedang akan memakai baju Melayu. Setakat ini Pedang belum beli lagi jubah, manakala baju Melayu sedondong sekeluarga, pula biasanya dibeli oleh anak-anak dan isteri Pedang.

Tapi, untuk raya tahun ini, rasanya tiada baju Melayu untuk Pedang kerana anak-anak dan isteri Pedang akan menyambut Aidilfitri di luar negara.

Namun, satu persoalan yang timbul di fikiran Pedang ialah apakah pakaian yang dipakai pada Aidilfitri – perayaan khas kepada umat Islam yang sebulan diperintah menahan lapar dan dahaga di siang hari – hanya untuk menunjukkan kehebatan, kebanggaan kerana mampu mengikut trend semasa?

Baju Melayu, sama ada cekak musang atau teluk belanga, adalah pakaian tradisional masyarakat Melayu. Biasanya baju dan seluar digayakan dengan samping, untuk pelbagai majlis, sama ada solat, kenduri dan lain-lain.

Mengimbas sejarah, pemakaian baju Melayu ini telah bermula sejak pemerintahan sultan ketiga Empayar Kesultanan Melayu Melaka, Sultan Muhammad Shah di Melaka (1424-1444). Dikatakan, baginda telah mengeluarkan titah yang melarang orang Melayu memakai ‘cara atas angin’ (Arab, India dan Eropah) serta ‘cara bawah angin’ (China dan Khmer).

Pada hari Jumaat juga semua lelaki Melayu dikehendaki ke masjid dengan memakai sepersalinan bersih dan cantik, lengkap bertanjak dengan wangian kasturi. Pemakaian serban Arab bagi lelaki Melayu hanya dibenarkan di dalam masjid sahaja.

Bagi baju Melayu teluk belanga atau turut dikenali sebagai ‘baju kurung Johor’ mula diperkenalkan ketika pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar, tatkala baginda bersemanyam di Teluk Belanga, Singapura dan berpindah ke Tanjung Puteri pada 1866 (kini dikenali Johor Bahru).

Itu serba ringkas mengenai sejarah baju Melayu, baju tradisional masyarakat Melayu di Malaysia. Namun, kini, baju Melayu itu sedang menghadapi waktu suram berikutan munculnya pelbagai jenis baju lain yang menarik perhatian.

Jika, anda perasan, sejak dua tiga tahun ini, malah untuk Aidilfitri dua minggu lagi, sekarang ini cukup heboh dengan baju kurta, mengalahkan baju Melayu jenama Aaron Aziz atau Nabil, sedangkan baju Melayu adalah pakaian tradisional bangsa Melayu di Malaysia.

Pedang pun pelik dengan sikap anak muda Melayu yang terikut-ikut atau amat bangga dengan trend sekarang ala-ala Bollywood. Konon, kalau tak ikut trend maka tidak mengikut perkembangan semasa. Bukan Pedang anti mereka yang memakai kurta, tapi dahulukan pakaian tradisional Melayu itu.

Pedang tidak menafikan dengan sentuhan berani pereka fesyen, mengubah ragam corak ditambah dengan warna serta kain menarik, kurta yang berasal dari India, kini bakal melenyapkan gaya baju tradisional Melayu – teluk belanga dan cekak musang.

Mengikut laman Wikipedia, kurta yang berasal dari India, Pakistan dan Bangladesh, adalah pakaian bagi lelaki, manakala kurti pula bagi wanita, serta dipakai bersama dhoti, paijama, shalwar, lungi atau jeans. Kurta juga sama seperti ‘perahan’ yang dipakai di Afghanistan, ‘phiran’ di Kashmir dan ‘daura’ di Nepal.


Baju kurta juga pernah popular di Amerika Syarikat pada tahun 60-an dan 70-an, sebagai satu elemen daripada fesyen golongan ‘hippie’.

Jenis baju kurta ini pula berbeza antara satu sama lain mengikut namanya. Antara nama baju kurta ini ialah, kali kurta; bhopali kurta (dipakai sejak 1901 oleh Sultan Jehan Begum); hyderabadi kurta; lucknowi kurta; dogri kurta; overlapping kurta, straight-cut kurta; multani kurta; punjabi phulkari kurta; Delhi kurta dan banyak lagi nama-namanya.

Walaupun, sesetengah pihak berpendapat kemungkinan baju kurta hanyalah trend atau satu opsyen, atau hanya sekadar pakaian, tetapi harus diingat, lama kelamaan baju Melayu teluk belanga dan cekak musang bakal lenyap jika sesuatu tidak dilakukan.

Pereka fesyen di negara ini sepatutnya mengetengahkan rekaan baju Melayu yang lebih hebat daripada kurta, bukan sekadar menjadikan selebriti terkenal sebagai ikon untuk melariskan jualan.

Identiti Melayu bukan saja bahasanya, agamanya, tetapi juga pakaian. Jangan pula kita kelihatan seperti menyambut Diwali, sedang perayaannya adalah Aidilfitri.

Kata Pedang: Daripada pakai kurta lebih baik pakai jubah – pahala pun dapat jika niat memakainya untuk mengikut sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

*Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. 

Tiada ulasan: