Inilah yang menjadi masalah dalam pentadbiran baharu Dr Mahathir Mohamad. Kalangan penjawat awam kanan dan ketua agensi kerajaan ini ada perangai buruk yang serupa.
Ramai di kalangan mereka terlibat dengan serius dalam kancah rasuah. Jika tidak pun, mereka dengan senang hati menjadi pemudah cara bagi kontrak berat sebelah dan urusniaga mencurigakan semasa pentadbiran Najib Razak.
Atau mereka hanya memaling muka ketika rompakan besar dijalankan di 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau syarikat lain milik kerajaan.
Dr Mahathir Mohamad dan orang kanannya, Daim Zainuddin sudah melihat banyak kebejatan berlaku sepanjang kegiatan mereka dalam politik. Namun mereka juga terkejut apabila melihat kerosakan nilai yang penuh kejahatan ini.
Ada kalanya, seolah-olah setiap pegawai tinggi kerajaan ini disyaki terlibat rasuah.
Sistem rasuah yang berakar umbi ini tidak berlaku disebabkan tekanan oleh Najib Razak dan konco-konconya ke atas para penjawat awam.
Individu paling pintar dan paling baik yang dihasilkan Malaysia ini menandatangani kontrak merugikan. Mereka juga menjadi penggerak bagi tindakan salah hanya kerana ingin naik pangkat atau untuk terus mencari makan.
Seperti juga ramai rakyat Malaysia, mereka yakin bahawa Najib dan Barisan Nasional akan menang PRU14. Maka mereka yakin akan mendapat lebih banyak laba jika terus mengikut sahaja.
Ada yang berharap untuk dilanjutkan kontrak selepas tempoh persaraan wajib; ada juga beberapa yang mengintai jawatan kabinet tapi bagi kebanyakan yang lain, kemenangan Najib bermakna hidup mewah akan terus terjamin.
Ia adalah persetujuan timbal balik yang selesa.
Najib tidak mengganggu aliran rasuah mereka, dan penjawat awam ini juga tidak mengganggu aliran penipuan, rundingan mencurigakan dan riwayat ajaib mengenai wang derma.
Kebenaran Najib menjadi kebenaran mereka. Caranya menjadi cara mereka juga.
Rasuah dan kerosakan nilai menjadi normal.
Rasuah menjadi terlalu biasa di peringkat tertinggi kerajaan. Ia sudah boleh diagak dan sangat biasa.
Dalam ekosistem mereka ini, pengawai tinggi kerajaan berkenaan tidak lagi melihat tindakan atau perkara yang sengaja ditinggalkan sebagai satu kejahatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan