Rahmat, atau lebih dikenali di Twitter sebagai Mat Umno, menyerahkan borang pencalonan kepada Setiausaha Agong Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini, yang salinannya dihantar kepada media.
"Saya berpendapat bahawa Umno perlukan nafas dan energi baru untuk terus maju ke hadapan.
"Kegagalan pemimpin yang lepas harus diambil kira bagi menjamin survival masa depan Umno," katanya dalam emel kepada media.
Beliau turut menggesa barisan pimpinan sedia ada yang masih belum mengemukakan pencalonan supaya letak jawatan supaya satu pilihanraya yang telus dan bersih dapat dijalankan bagi memilih pemimpin masa depan Umno.
Katanya, Umno masih ada ramai pemimpin muda yang berkaliber, bersih, tulus dan gigih.
"Maka saya sarankan mereka ini semua untuk berani melangkah kehadapan dan bersama bersama saya untuk menerajui Umno yang bakal dilahirkan semula dengan semangat dan kekuatan yang baru," katanya.
Umno meminda Perlembagaan pada 2009 yang membuka jalan kepada pemilihan langsung oleh ahli-ahlinya di akar umbi. Pindaan itu menghapuskan syarat kuota yang diperlukan oleh seseorang calon yang mahu bertanding jawatan dalam Umno, dan tidak lagi memerlukan pencalonan daripada bahagian.
Sebaliknya, mana-mana ahli yang memenuhi syarat pertandingan dan kelayakan bertanding boleh mengemukakan borang pencalonan. Pencalonan dibuka sejak 1 Jun lepas dan akan ditutup pada 17 Jun, pukul 5 petang.
Umno kali ini membuka pertandingan bagi semua jawatan dalam parti selepas ada desakan daripada akar umbi.
Perhimpunan Agung Umno tahun lalu memutuskan dua jawatan tertinggi presiden dan timbalan presiden tidak ditandingi.
Najib Razak bagaimanapun letak jawatan presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional, tiga hari selepas kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Sejak itu, dua naib presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein masing-masing memangku tugas presiden dan timbalan presiden.
Zahid sudah mengemukakan pencalonan bertanding jawatan presiden. Beberapa nama lain seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Mustapa Mohamed juga sedang dipujuk untuk bertanding jawatan nombor 1 itu.
Hishammuddin sementara itu belum memutuskan jawatan yang akan ditandinginya.
Setakat ini, hanya ada seorang calon bagi jawatan timbalan presiden iaitu bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan.
Pemilihan akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Jun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan