Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta memperhalusi cadangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu memulakan sebuah lagi projek kereta nasional.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata projek tersebut merupakan satu langkah terkebelakang dan regresif dari segi perbelanjaan kewangan dan alam sekitar.
“Bukan sahaja projek kereta nasional ini tidak mesra alam dari segi pelepasan karbon dioksida, tetapi juga bakal menelan belanja yang besar kepada Kerajaan yang sepatutnya disalurkan kepada pembangunan projek pengangkutan awam.
“Melainkan projek kereta nasional baharu ini akan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya, saya tidak nampak kebaikan dan manfaatnya kepada rakyat, ekonomi negara dan alam sekitar.
“Ini juga banyak bergantung kepada kemampuan kita dalam mencapai ekonomi skala atau ‘economies of scale’. Kalau skala pengeluarannya kecil, sasaran impak ekonomi yang diingini mungkin tidak akan dicapai,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat dalam laman Facebook rasmi miliknya pada Isnin.
Dr. Mahathir ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei ke 24 itu menyuarakan hasrat untuk melaksanakan satu lagi projek kereta nasional.
Menurutnya, pertimbangan tersebut dibuat berikutan Proton yang beliau lancarkan dahulu kini bukan lagi kereta nasional setelah 49.9 peratus saham Proton dijual kepada gergasi automotif dari China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) semasa zaman pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Ketua Pemuda UMNO itu berkata projek kereta nasional itu juga dijangka akan menambah kos kepada rakyat melalui duti eksais yang membebankan untuk membeli kereta jenama lain.
Oleh itu Khairy berkata kerajaan wajar menumpukan kepada penambahbaikan pengangkutan awam yang sedia ada atau mencari jalan supaya projek MRT 3 diteruskan dengan kos rendah.
“Projek kereta nasional seperti ini juga akan menambah kos kepada rakyat melalui duti eksais yang mencecah sehingga 105% yang membebankan pengguna yang ingin membeli kereta jenama selain kereta nasional.
“Saya berharap, keutamaan masa dan sumber dapat diberikan kepada penambahbaikan sistem pengangkutan awam seperti kerjasama dengan pihak swasta dalam menambahbaik “last-mile connectivity” seperti solusi e-hailing dengan menggunakan kenderaan dan motosikal, kajian menyeluruh dari segi kemungkinan (feasibility) termasuk bagaimana untuk mengurangkan kos untuk projek MRT 3 dihidupkan semula pada masa akan datang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan