Jumaat, 1 Jun 2018

Peguam negara tarik balik rayuan dakwa Guan Eng hina mahkamah

 
Mahkamah membatalkan rayuan itu tanpa sebarang perintah mengenai kos.





PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menarik balik rayuannya memetik Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menghina mahkamah.

Peguam kanan persekutuan, Maisarah Juhari memberitahu panel 3 hakim Mahkamah Rayuan hari ini yang peguam negara sudah memfailkan satu notis tidak meneruskan rayuan itu, semalam.

“Jadi, kami menarik balik rayuan itu dan satu salinan sudah diserahkan kepada responden,” katanya.

Hakim, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mengetuai panel itu kemudiannya membatalkan rayuan itu tanpa sebarang perintah mengenai kos.

Lim yang kini menteri kewangan, diwakili Mervyn Lai.

Pada 7 Disember 2017, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Lim untuk mengetepikan kebenaran diperolehi peguam negara untuk memulakan prosiding komital terhadapnya kerana menghina mahkamah.

Hakim, Datuk Kamaludin Md Said berkata, peguam negara menggunakan transkrip rakaman sidang media versi suntingan untuk mendapatkan kebenaran itu.

“Dalam kes ini, plaintif (peguam negara) gagal membuat pendedahan penuh semua keterangan ketika membuat permohonan kebenaran sebelah pihak (ex-parte) di depan hakim,” katanya.

Kamaludin berkata, disebabkan fakta tidak didedahkan itu, hakim yang mendengar permohonan itu pada 2016 tiada peluang untuk menganalisis fakta itu dengan betul.

Pada 6 Januari 2017, Lim memohon mahkamah mengetepikan perintah terdahulu memetiknya menghina mahkamah.

Kamaludin berkata, Lim mempunyai hak membangkitkan fakta tidak didedahkan kerana ia mungkin menimbulkan keraguan hakim terhadap niat peguam negara dalam membuat kenyataan sedemikian.

Katanya, peguam negara tidak boleh memilih kenyataan tertentu yang memihak kepadanya kerana ada kenyataan lain yang dibuat dalam sidang media itu, jika digunakan, boleh mengetepikan alasan ke atas dakwaan menghina mahkamah itu.

Kamaludin berkata, penghinaan mahkamah perlu dibuktikan tanpa keraguan munasabah dan berdasarkan pendedahan penuh itu.

Katanya, beliau mendapati Lim tidak membuat kenyataan mengenai badan kehakiman, sebaliknya bercakap mengenai proses siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta pendakwaan oleh peguam negara.

Bagaimanapun, hakim menolak hujah Lim yang permohonan kebenaran memetiknya atas dakwaan menghina mahkamah perlu didengar di Pulau Pinang.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Kehakiman membenarkan mana-mana hakim di Tanah Melayu menghukum sesiapa yang tidak menghormati mahkamah.

“Kuasa itu boleh dilaksanakan mana-mana cawangan Mahkamah Tinggi Malaya,” katanya.

Pada 21 September 2016, Hakim Datuk Hanipah Farikullah memberi kebenaran kepada peguam negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lim.

Peguam negara mendakwa Lim mengeluarkan kenyataan dalam media cetak dan/atau media sosial yang akan menggugat pentadbiran keadilan, menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman dan menyebabkan mereka mempersoalkan maruah serta integriti mahkamah.

Apandi berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan kesucian serta integriti badan kehakiman, dan penghinaan mahkamah perlu dielakkan atau ia akan menimbulkan keraguan terhadap pentadbiran badan kehakiman di negara ini.

Menurut peguam negara, kenyataan Lim dalam sebuah sidang media di George Town, Pulau Pinang, yang pertuduhan rasuah terhadapnya (Lim) ialah satu konspirasi dan beliau akan dipenjarakan, boleh diterjemahkan dengan jelas sebagai mahkamah turut terbabit dalam “pertuduhan rasuah palsu”.

Pada 30 Jun 2016, Lim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas dakwaan rasuah berkaitan penukaran status sebidang tanah daripada zon pertanian kepada perumahan, serta pembelian sebuah banglo di bawah harga pasaran.

Tiada ulasan: