Jumaat, 1 Jun 2018

Jangan tangguh manifesto tak bayar PTPTN sehingga bergaji RM4,000

Oleh Rahman Imuda
 
 
Sebagaimana penubuhan Tabung Harapan Malaysia, kerajaan boleh bekerjasama sama dengan syarikat korporat wujudkan tabung pelajar miskin.
 
 
 



Semalam menteri kewangan mengumumkan pelaksanaan polisi membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Negara (PTPTN) setelah bergaji RM4,000 ditangguh atas faktor kedudukan ekonomi negara yang tidak stabil.

Petunjuk ketidakstabilan ekonomi yang sering digunakan kerajaan adalah berdasarkan hutang negara yang dikatakan mencecah lebih 1 trillion ringgit.

Angka yang maha tinggi ini mendapat simpati rakyat dan gerakan untuk mengutip derma muncul, akhirnya kerajaan memperkenalkan Tabung Harapan Malaysia untuk mengelakkan penipuan dan melicinkan kutipan.

Ada yang berpandangan hutang negara cuma RM686.8 billion (hutang rasmi kerajaan Persekutuan) kerana inilah hutang pokok kerajaan. Walaupun pada awal tahun ini Bank Dunia dan IMF memuji ekonomi negara, kerajaan hari ini datang dengan nada negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang teruk akibat salah urus kerajaan sebelum ini.

Ekonomi gawat punca manifesto ditangguh

Kegawatan ekonomi ini menyebabkan kerajaan menangguhkan beberapa manifesto 100 harinya – salah satu daripada manifesto itu adalah untuk membenarkan peminjam PTPTN membayar setelah bergaji RM4,000.

Saya berpandangan penangguhan manifesto ini perlu difikirkan semula oleh kerajaan. Keperluan penangguhan ini penting untuk membantu para graduan yang belum mendapatkan pekerjaan atau memiliki gaji yang terlalu kecil, terutamanya jika mereka berasal daripada keluarga yang miskin.

Saya tidak pasti sebanyak mana “wang” yang diperlukan untuk proses penangguhan ini kerana Pakatan Harapan (PH) setahu saya tidak pernah mendedahkan pelan penuh untuk polisi ini.

Adakah kerajaan bercadang untuk menampung kemorosotan kadar bayaran balik peminjam setelah polisi ini diperkenalkan?

Soalan ini penting untuk survival PTPTN – kerana setelah diperkenalkan dasar semacam ini pastinya kadar bayaran balik akan jatuh, memberi kesulitan untuk PTPTN memberikan pinjaman pada pelajar baharu.

Kedua, saya tidak gemar dengan keputusan untuk menangguhkan manifesto ini secara terus, sedangkan kerajaan berupaya untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Jika kerajaan melihat gaji RM4,000 itu terlalu besar sehingga berlaku kemorosotan bayaran balik yang tinggi, maka kerajaan boleh mencuba penanggguhan bersasar.

Sebagai contoh, pemerintah boleh mewajibkan peminjam membayar setelah bergaji RM2,500 dan RM3,000 untuk mereka dari kelompok bottom 40% (B40).

PH harus ingat – tujuan utama GST dimansuhkan dan penangguhan bayaran balik ini adalah untuk “protect” orang miskin. Penangguhan manifesto bayaran setelah bergaji RM4,000 secara menyeluruh bermakna pengabaian kepada tanggungjawab membantu para graduan miskin.

Kerjasama korporat bantu pelajar miskin

Beberapa tahun lepas, PTPTN pernah mengadakan kerjasama dengan syarikat korporat dan mewujudkan 1 tabung yang dinamakan Bantuan Pelajar Miskin 1 Malaysia (BPM1M) namun sehingga hari ini BPM1M ternyata sepi dan tidak diketahui statusnya.

Saya fikir siasatan terhadap BPM1M perlu dilakukan kerana saya pernah menghubungi PTPTN beberapa kali ketika menjadi wakil pelajar, ternyata mereka menafikan wujudnya dana semacam ini.

Kewujudan kerjasama seperti ini mampu untuk meningkatkan kewangan PTPTN memandangkan kesukaran kerajaan untuk membantu akibat “kekangan ekonomi” yang disebutkan oleh menteri kewangan kita semalam.

Saya amat optimis kita mempunyai banyak kapitalis yang sering memperlihatkan keprihatinan mereka kepada sistem pendidikan tinggi negara.

Saya fikir bukanlah kerja yang terlalu sukar untuk mengajak mereka menyalurkan wang kepada PTPTN bagi membantu pelajar yang susah. Lebih-lebih dengan kerajaan yang baharu, pastinya kelompok “bangsawan” negara mahu mempunyai hubungan baik dengan pemerintah.

Kaji yuran IPTA, tutup IPTS meragukan

Permasalahan PTPTN adalah topik perbincangan yang luas – soalan adakah kerajaan tidak mampu menyediakan pendidikan tinggi percuma sehingga “memaksa” pelajar meminjam untuk meneruskan pelajaran adalah soalan yang paling kritikal.

Jika kerajaan tidak mampu menawarkan pendidikan percuma, maka kerajaan bertanggungjawab menyediakan sistem pendidikan tinggi yang murah dan berkualiti.

Malangnya, pada hari ini sudah ada universiti awam yang memiliki yuran yang setanding dengan institusi swasta. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana kewujudan universiti awam yang disubsidikan adalah untuk membantu golongan miskin ke menara gading.

Jika yuran universiti awam tinggi, bagaimana mungkin kelompok ini boleh survive walaupun dengan pinjaman PTPTN?

Selain itu, kewujudan institusi swasta yang tidak melepasi standard sewajarnya hanya akan berfungsi sebagai penyedut wang daripada pelajar.

Hakikatnya sijil yang bakal diterima oleh pelajar nanti tidak laku di industri. Akhirnya kumpulan pelajar yang terpedaya dengan pujuk rayu institusi pendidikan yang bermotifkan perniagaan ini terbeban dengan hutang sedangkan sijil mereka tidak diiktiraf.

Jika sijil tidak diiktiraf, bagaimana mungkin mereka boleh mendapat pekerjaan yang baik untuk membayar hutang?

Nilai semula kedudukan ekonomi negara

Kerajaan perlu menjawab kritikan yang menyatakan ekonomi negara kita tidaklah seteruk yang digambarkan.

Saya percaya dengan keadaan ekonomi kita pada hari ini, manifesto yang ditangguhkan boleh diubahsuai untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan dalam keadaan mendesak – seperti dalam kes pinjaman PTPTN yang saya nyatakan di atas.

Rakyat sedar kerajaan mahu melakukan penjimatan, tapi janganlah kerana terlalu ingin berjimat keperluan rakyat diabaikan.

Rahman Imuda adalah seorang aktivis mahasiswa.

Tiada ulasan: