Sabtu, 16 Jun 2018

Lot bazaar Ramadan: Fong mungkin saman, Saddiq gesa siasatan

 
Ahli Parlimen DAP, Fong Kui Lun berkata namanya mungkin disalahgunakan, manakala Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq menggesa siasatan ke atas dakwaan rasuah itu.


Fong Kui Lun dan Syed Saddiq menggesa siasatan dilakukan ke atas isu lot bazaar Ramadan di Jalan Masjid India.


PETALING JAYA: Dua ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap dakwaan rasuah membabitkan peruntukan lot bazaar Ramadan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun berkata beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli Pemuda PPBM, Mohd Noorhisyam Abd Karim selepas veteran DAP itu terbabit dalam dakwaan namanya disalahgunakan dalam mengeluarkan surat sokongan kepada Noorhisyam.

Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dakwaan Noorhisyam menyewakan 80 lot dengan kira-kira RM5,000 setiap satu.

Noorhisyam dilapor menafikan mengambil wang daripada penjaja, sebaliknya beliau hanya mengutip RM6,238 untuk dibayar kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Fong yang kini berada di luar negara memberitahu FMT, beliau akan pulang ke Malaysia dalam masa 3 hari dan sudah meminta peguamnya meneliti kes itu. Satu laporan SPRM turut dibuat bagi pihaknya.

“Nama saya mungkin digunakan (untuk alasan salah). Dakwaan terhadap saya itu tidak benar. Ia adalah dakwaan palsu.”

Beliau mengakui ada menulis satu surat sokongan untuk permohonan Noorhisyam mendirikan gerai di kawasan beli-belah popular Jalan Masjid India pada Ramadan.

Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Mohd Zain dilaporkan berkata, pada mulanya mereka menolak permohonan Noorhisyam, sebelum dipaksa meluluskannya selepas menerima surat sokongan Fong.

Fong hari ini berkata, beliau sekadar mahu membantu penjaja yang tidak mempunyai lesen untuk mendirikan gerai.

Syed Saddiq: Elak rasuah

Syed Saddiq menggesa polis dan agensi anti-rasuah untuk menyiasat dakwaan rasuah itu.

“Kami tidak mahu dicemari sebarang salah laku. Pendirian kami dalam Pemuda PPBM ialah jika ada sebarang salah laku, walaupun jika ia dilakukan rakan atau ahli keluarga kami, kami perlu bersuara dan melaporkannya. Biar keadilan berlaku sendiri,” katanya kepada FMT.

Syed Saddiq berkata, beliau sudah menghubungi penjaja terbabit supaya membuat laporan polis.
Pemuda PPBM turut membuat laporan dan menggesa polis mengambil tindakan.

Katanya, beliau tidak bertolak ansur dengan ahli Pemuda PPB yang menyalahgunakan kuasa mereka untuk mengaut keuntungan.

Tiada ulasan: