Rabu, 6 Jun 2018

Lim Guan Eng, SPRM ke China runding skandal SSER

THE MALAYSIAN INSIGHT
Lim Guan Eng, SPRM ke China runding skandal SSER
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kaedah pembayaran mengikut masa tidak pernah dibuat sebelum ini dan setahu beliau ia cuma dibuat semasa pentadbiran Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal
 
MENTERI Kewangan Lim Guan Eng akan ke China untuk berunding dengan pihak berkuasa republik itu berhubung skandal kewangan melibatkan dua projek paip minyak dan gas yang dibina oleh China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB), kata Dr Mahathir Mohamad.

Lim akan disertai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tambahnya.

Dua buah projek melalui Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), sebuah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, mendapat bayaran hampir penuh daripada Kementerian Kewangan walaupun kerja-kerjanya baru sedikit saja siap.

Dr Mahathir juga berkata Kabinet setuju kaedah pembayaran mengikut masa akan diteliti semula.

"Bayaran berkala mengikut masa tanpa mempedulikan kemajuan kerja, salah. Kita hendak teliti kenapa kaedah pembayaran seperti itu dipersetujui," katanya, selepas mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini.

Lim semalam mendedahkan satu lagi skandal melibatkan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), sebuah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, yang ditubuhkan untuk menjalankan dua projek saluran paip gas dan minyak.

Dalam pendedahannya, Lim meminta bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohamed Irwan Serigar Abdullah dan perdana menteri Najib Razak menjelaskan urus niaga yang merugikan rakyat dan negara.

Kontrak dua projek berjumlah RM9.41 bilion yang diberikan CPPB itu meletakkan syarat bayaran secara masa berkala, dengan 85% daripada nilai projek-projek itu perlu dibayar pada 1 Mac 2018.

Syarikat itu dibayar hampir 88% daripada nilai projek sedangkan kerja yang sepatutnya sempurna dalam masa dua tahun hanya siap 13% sahaja. Jumlah yang sudah dibayar ialah RM8.25 bilion.

Dalam pendedahannya semalam Lim berkata jika perlu, Malaysia akan mendapatkan bantuan kerajaan China untuk menjejak pengaliran bayaran itu termasuk menyiasat kebarangkalian melibatkan aktiviti pengubahan wang haram.

Dr Mahathir menambah, kaedah pembayaran mengikut masa itu tidak pernah dibuat sebelum ini dan setahu beliau cuma dibuat semasa pentadbiran Najib.

Menjawab satu soalan, Dr Mahathir membayangkan kelulusan Kabinet terhadap kaedah pembayaran mengikut masa itu tidak menjadikannya betul.

"Mungkin ini keputusan kabinet tetapi keputusan itu salah. Ia menjejaskan kita. Ini tidak baik untuk negara.

"Ini yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini. Kami tidak mahu buat macam itu," katanya.

Tiada ulasan: