Jumaat, 22 Jun 2018

Kumpulan pertama jemaah haji berlepas 14 Julai

Mohd Zaini Samsu Hadi
jemaah haji
Para jemaah haji mengaminkan doa pada Majlis Perlepasan dan Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Kementerian Pertahanan Malaysia ke Tanah Suci Musim Haji 1438H di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
 

SEPANG – Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia untuk musim haji 1439H/2018 yang akan menunaikan rukun Islam kelima itu dijadual berlepas ke tanah suci pada 14 Julai ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Johan Abdullah berkata, penerbangan terakhir dijangka pada 14 Ogos ini.

“Sebanyak 30,200 jemaah haji Malaysia dijangka berlepas ke Tanah Suci secara berperingkat menerusi 81 penerbangan sewa khas oleh Malaysia Airlines dan Flynas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Buat julung kalinya, operasi haji bermula di Kompleks Tabung Haji Sepang berbanding sebelum ini dilakukan Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Taklimat Operasi Haji Musim 1439H/2018M di Kompleks Tabung Haji baharu Sepang di sini hari ini.

Katanya, penerbangan balik pertama dan terakhir dari Tanah Suci masing-masing adalah pada 29 Ogos dan 29 September ini.

Ujar beliau, sebanyak 81 penerbangan sewa khas akan digunakan bagi operasi haji tahun ini dengan menggunakan 40 pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan 41 pesawat Flynas (Arab Saudi).

Dalam pada itu beliau berkata, meskipun kos keseluruhan mengerjakan ibadah haji meningkat sebanyak 15 peratus kepada RM22,240 berbanding RM19,550 pada musim haji lalu, namun bayaran haji masih kekal sebanyak RM9,980. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: