Dania Zainuddin, Astro Awani
Merujuk cadangan debat antara calon Presiden UMNO, beliau berpendapat ia harus difikirkan secara berhemah dan penuh kebijaksanaan.
Menurutnya, UMNO ketika ini adalah parti pembangkang dan setakat ini, tidak pernah ada sebuah parti pembangkang pun yang mengadakan 'public debate' di antara calon presiden parti mereka.
“Jika mahu berdebat perkara menyentuh rakyat dan negara, saya mencadangkan kita adakan satu perdebatan terbuka di antara Ketua Kerajaan dan Ketua Pembangkang apabila genap 100 hari pentadbiran kerajaan PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Ku Li, KJ dan Zahid antara lima calon jawatan Presiden UMNO
Annuar berkata, hal ehwal dalaman parti perlu diurus secara tertib dan bijaksana.
"Yang lebih penting ialah jangan sehingga percaturan dalaman kita ditentukan oleh musuh atau kita tertikam kawan dengan pisau yang diberi musuh kita," tambahnya.
Beliau mengulas mengenai cadangan debat dalam kalangan calon Presiden UMNO di mana dua daripadanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tengku Razaleigh Hamzah, telah pun bersetuju, sementara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan enggan menyertainya.
BACA: Ku Li, KJ sah berdebat di Astro AWANI 29 Jun ini
Dua lagi calon, anggota UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan anggota UMNO Bahagian Iskandar Puteri Mohd Yusof Musa@Jamaluddin, masih belum memberikan reaksi mereka.
Kata Annuar, debat secara umumnya adalah aktiviti yang baik. "Ia membolehkan peserta berkongsi pendapat atau sesuatu isu."
Pemilihan jawatan dalam parti bagaimanapun katanya, adalah urusan dalam keluarga dan tertakluk kepada peraturan, etika dan tradisi tertentu.
“Mungkin oleh kerana UMNO atau calon-calon Presiden ada tarikan istimewa tersendiri, maka debat ini diharap menjadi realiti.
“Apapun, suka saya menasihatkan mereka yang terlibat agar tidak terlalu ghairah sehingga terlupa gelanggang mana mereka harus bersilat dan irama paluan siapa yang harus mereka menari," katanya lagi.
Beliau turut melahirkan rasa bimbang dengan trend populis dan percubaan mengikut rentak luaran di kalangan UMNO.
"Jika kita bertindak berlebihan ia membawa banyak keburukan daripada kebaikan kepada parti yang kebetulannya pula sedang melalui satu kejutan kehilangan status parti pemerintah," katanya.
Justeru, beliau menganggap adalah memadai untuk calon-calon terbabit berwacana melalui pelbagai media yang ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan