Rabu, 20 Jun 2018

Kenapa Najib ambil peguam AS, soal ahli Parlimen DAP

 
RSN Rayer menggesa Majlis Peguam berhati-hati meneliti permohonan peguam asing untuk mewakili Najib Razak kerana ia mungkin taktik menangguhkan perbicaraan.


Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, Majlis Peguam mempunyai ramai peguam jenayah berpengalaman luas.


GEORGE TOWN: Seorang peguam hari ini mempertikaikan tindakan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak memilih peguam kanan dari Amerika Syarikat (AS) bagi mewakilinya menghadapi kemungkinan dikenakan pertuduhan jenayah, sedangkan Malaysia turut mempunyai peguam jenayah berkebolehan.

RSN Rayer yang juga ahli Parlimen Jelutong berkata, walaupun Najib mempunyai hak untuk mengupah peguam asing, Majlis Peguam perlu meneliti permohonannya mengambil peguam AS secara berhati-hati kerana ia mungkin taktik menangguhkan sebarang perbicaraan yang mungkin diadakan.

Peguam asing yang berhasrat tampil di mahkamah Malaysia perlu mempunyai lesen khas dikeluarkan Majlis Peguam. Mengikut Akta Profesion Undang-undang (Pindaan) 2012, sebuah firma guaman tempatan perlu memohon lesen bagi pihak peguam asing itu.

Najib dilaporkan mendapat khidmat bekas peguam negara AS, John Ashcroft. Reuters turut melaporkan beliau mendapatkan perkhidmatan peguam AS, David Boies dan Matthew Schwartz.

“Sama sekali tiada keperluan untuk Najib mendapatkan sepasukan peguam asing dari AS sedangkan Majlis Peguam Malaysia, Sabah dan Sarawak mempunyai ramai peguam kanan jenayah berpengalaman luas.

“Peguam seperti Tan Sri Shafee Abdullah, Datuk N Sivananthan, Datuk Tan Hock Chuan, Hisyam Teh Poh Teik dan ramai lagi pernah mempertahankan individu berdepan pertuduhan serius, termasuk kesalahan membawa hukuman mati.

“Dalam kes Najib, beliau hanya berdepan kemungkinan pertuduhan pengubahan wang dan rasuah dikaitkan dengan 1MDB yang bukannya kes hukuman mati.”

Katanya, mana-mana perbicaraan boleh ditangguhkan akibat “permohonan ad hoc” oleh peguam asing.

“Saya menggesa Majlis Peguam lebih berhati-hati dalam mempertimbangkan sebarang permohonan ad hoc dibuat mana-mana peguam asing yang berhasrat mempertahankan Najib.

“Ia mungkin membuka pintu kepada kemasukan peguam asing yang ditentang kuat Majlis Peguam selama ini.”

Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pernah diwakili peguam Datuk Harpal Singh Grewal dan M Athimulan pada kemuncak operasi penggeledahan polis di kediaman mereka bulan lalu.

Bagaimanapun, peguam itu dilepaskan sebelum Najib disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Bekas ketua pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, Datuk Yusof Zainal Abideen dan peguam kanan jenayah, M Puravalen kemudian mewakili Najib dan Rosmah secara berasingan. Bagaimanapun, mereka berdua kemudiannya berhenti.

Menurut laporan, Rosmah kini diwakili peguam tempatan, Datuk K Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent.

Agensi penguatkuasaan undang-undang, termasuk SPRM memperhebatkan siasatan ke atas pasangan itu, termasuk pengubahan wang.

SPRM sedang mengemas kini siasatan ke atas RM42 juta dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Tiada ulasan: