Jumaat, 1 Jun 2018

Sertai PAS, Tuan Ibrahim pelawa ahli Umno

 
Timbalan Presiden PAS itu berkata, partinya sentiasa membuka pintu kepada ahli Umno kerana pada masa sama parti itu tidak akan membentuk kerjasama dengan Umno.


Tuan Ibrahim berkata, pada PRU lepas rakyat menolak BN dan atas sebab itu PAS membuka pintu kepada BN dan Umno untuk menyertai parti itu.


ALOR SETAR: PAS mempelawa ahli Umno menyertai parti itu untuk membentuk gabungan yang kuat selepas parti berteraskan bangsa Melayu itu tewas besar pada pilihan paya umum (PRU) 9 Mei lepas.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu sentiasa membuka pintu kepada ahli Umno untuk berbuat demikian kerana pada masa sama tidak mungkin parti itu akan membentuk kerjasama dengan Umno.

“Saya sudah lama ajak mereka (ahli Umno) masuk PAS. Bila mereka sudah hilang kuasa pada PRU lalu, saya rasa sudah tiba masanya untuk mereka sertai PAS, bukan PAS sertai Umno.

“Apa yang berlaku pada PRU lepas ialah rakyat tolak Barisan Nasional (BN), jadi atas sebab itu kita buka pintu kepada BN dan Umno untuk sertai PAS,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Kesyukuran Pasca PRU14 di Kompleks PAS Kedah, malam tadi.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, bahawa Umno dan PAS perlu bergabung dan membentuk kerjasama yang dapat memberikan cabaran kepada Pakatan Harapan (PH) dan pada masa sama menjaga kepentingan orang Melayu.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menyatakan kesediaan PAS sekiranya dijemput menganggotai jawatankuasa yang bakal ditubuhkan kerajaan bagi melihat dan mengkaji semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Saya minta kerajaan kekalkan peranan Jakim selain mempertingkatkan jabatan itu. Jakim mendapat pengiktirafan dunia apabila cop halalnya diiktiraf, selain jabatan tersebut bertanggungjawab menyelaras isu-isu agama Islam dan sistem perundangan negara,” katanya.

Berhubung tawaran PAS kepada PH untuk mewujudkan kerajaan gabungan di Kedah, beliau berkata perkara itu disuarakan bagi mengelak daripada berlakunya pilihan raya negeri (PRN) berikutan isu perlantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Itu jalan keluar yang ada, tetapi kalau mereka tidak terima kita sedia untuk hadapi PRN. Tetapi rakyat baru sahaja selesai mengundi, jadi kalau boleh kita ingin elak PRN daripada berlaku. Kita lihat sahaja keputusannya nanti,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, timbul sedikit kesulitan berhubung pelantikan jawatan Speaker di DUN Kedah berikutan PH yang membentuk kerajaan negeri memperoleh 18 kerusi DUN menyamai jumlah 18 kerusi dimiliki PAS dan BN, iaitu masing-masing 15 dan 3 kerusi.

Tiada ulasan: