Jumaat, 15 Jun 2018

Guan Eng: Projek kereta nasional baru akan disokong sektor swasta

 
Menteri kewangan itu berkata, projek cadangan itu tidak membabitkan dana awam.





KUALA LUMPUR: Satu “pihak swasta” mencadangkan projek kereta nasional baru kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi kerajaan belum nampak kertas cadangan itu, kata menteri kewangan.

Lim Guan Eng dalam wawancara bersama stesen televisyen Singapura menerusi program “Conversation With” Channel NewsAsia, berkata projek cadangan itu yang diumumkan Dr Mahathir di Tokyo, Isnin lalu, dibiayai pihak swasta menggunakan wang mereka sendiri “adalah sesuatu yang berbaloi untuk dikaji”.

Dr Mahathir melancarkan Proton sebagai pengeluar kereta nasional pada 1980-an ketika pertama kali menjadi perdana menteri, tetapi ia kemudiannya menghadapi masalah dan jualan merosot.

Proton diswastakan dan kemudian 49.9% sahamnya dijual kepada gergasi pengeluar kereta China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd oleh kerajaan lama tahun lalu – perjanjian yang membuatkan Dr Mahathir sedih.
Lim berkata, beliau memabincangkan projek baru itu dengan Dr Mahathir sekembalinya dari lawatan kerja ke Jepun minggu ini.

“Saya beritahu perdana menteri, kita tiada wang dan dia tahu…Jadi, ia bukan dari dana awam, ia tidak seperti Proton.

“Jika ada pihak swasta yang mahu melakukannya di Malaysia menggunakan wang sendiri, saya fikir ia adalah sesuatu yang patut dikaji – tetapi bukan dari dana awam.”

Awal minggu lalu, Dr Mahathir berkata, Malaysia perlu bergantung kepada teknologi dan rakan kongsi asing pada permulaan projek baru itu, “tetapi akhirnya kita akan dapat melakukan semuanya sendiri”.

Pengerusi Pakatan Harapan berusia 92 tahun itu yang lantang mengkritik penjualan Proton sebagai menjejaskan maruah negara berkata, projek ke-2 kereta itu akan memberi peluang kepada jurutera tempatan.

Bagaimanapun, bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan projek kereta nasional baru itu sebagai langkah regresif dan terkebelakang, selepas membatalkan projek pengangkutan awam seperti MRT3 di Lembah Klang.

PH dalam misi mengurangkan hutang dan liabiliti negara mencecah RM1 trilion atau 80.3% daripada keluaran dalam negara kasar, sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Tiada ulasan: